RANAU: Kawasan tanah runtuh membabitkan kawasan letak kereta di Taman Negara Kinabalu yang turut menjejaskan jalan utama Tamparuli-Ranau akan dibaiki dengan kadar segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, kerja-kerja pembaikan itu perlu dilaksanakan secepat mungkin kerana itu merupakan antara laluan utama.
Selain itu, katanya, ia perlu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku kepada para pengguna di laluan tersebut.
“Kerja pembaikan semula perlu dilaksanakan dengan kadar segera kerana jalan Ini merupakan laluan utama dan banyak kenderaan awam melalui jalan Ini. Kita tidak ingin berlaku kemalangan jiwa berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh itu hari ini.
Jaochim yang Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah turut diiringi kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu, runtuhan membabitkan kawasan sepanjang 150 meter dengan lebar 100 meter.
Ia berikutan hujan yang berterusan sejak beberapa hari lepas yang turut menyebabkan banjir dan kejadian tanah runtuh di daerah itu.
Bagaimanapun kejadian tanah runtuh itu tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda. “Saya bersyukur kerana dalam kejadian tanah runtuh ini, tidak ada kemalangan jiwa berlaku. Walau bagaimanapun, jalan raya masih boleh dilalui kenderaan,” kata Jaochim.
Beliau turut mengingatkan penduduk di Kundasang agar berhati-hati di musim hujan kerana kebarangkalian kejadian tanah runtuh berlaku adalah tinggi.
Beliau juga bersyukur kerana ketika ini Taman Negara Kinabalu ditutup bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus mengelak risiko kehilangan harta benda atau nyawa pengunjung.