TAMPARULI: Ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) diseru agar meneruskan budaya kesepakatan dan kebersamaan yang menjadi amalan parti sejak sekian lama.
Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim, berkata, semangat kesatuan, persefahaman dan persahabatan sesama ahli parti wajar diteruskan bagi mempastikan hubungan kekeluargaan dalam parti akan kekal utuh.
“Interaksi di antara kita dirapatkan, secara profesional, dan perhubungan baik kita mesti dipelihara, agar parti kekal relevan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada ahli parti ketika merasmikan Majlis Pelancaran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Cawangan PBS N.14 Tamparuli di Kelab Tamparuli Sabah (KTS) pada Ahad.
“Kita bersyukur kerana masih dapat membuat pertemuan hari ini, walaupun dalam keadaan penuh Prosedur Operasi Standard (SOP), namun sekurang-kurangnya kita masih dapat saling bertukar-tukar pandangan sesama ahli parti,” katanya.
“Biarlah kita adakan AGM ini secara teratur mengikut perlembagaan parti, jangan buat secara ala kadar. Saya yakin berkat disiplin, kesepaduan dan semangat tinggi ahli, kita akan berjaya melaksanakannya,” tambah Jahid.
Jahid yang juga Ketua PBS Bahagian Tamparuli, mengambil kesempatan tersebut untuk mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha semua ahli dalam Pilihanraya Negeri (PRN16) yang lalu.
“Kepada pemimpin parti yang kini memegang jawatan di dalam kampung atau daerah mahu pun kementerian, jalankan tugasan anda dengan baik, jujur dan amanah.
“Kita sedang ‘diteropong’ dan dipantau oleh rakyat untuk melaksanakan tugasan sama ada di peringkat kementerian atau di peringkat daerah dan kampung,” tambahnya.
Menurut Jahid, PBS masih meneruskan usaha yang dimulakan Tan Sri DSP Joseph Pairin Kitingan untuk memperjuangkan tuntutan-tuntutan yang menjadi hak kepada negeri Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Justeru, katanya generasi muda masa masa kini perlu diberi pengetahuan mengenai MA63.
“Di sinilah peranan kita harus digunakan sepenuhnya untuk mendekati golongan muda seawal usia 18 tahun, terutamanya oleh Gabungan Belia-Beliawanis Bersatu (GBBB), yang diterajui pemimpin Pemuda dan Wanita parti,” katanya.
Tambahnya, pelbagai program perlu dilaksanakan bagi menambat minat golongan belia menyertai parti itu.
Dalam pada itu, Jahid mengucapkan selamat bertanding kepada semua Ketua Cawangan dan ahli-ahli yang menyatakan hasrat untuk bertanding dalam mana-mana jawatan parti yang dipertandingkan.
“Apabila bertanding, biarlah semangat setiakawan dan satu pasukan didahulukan, dan mengikut peraturan parti,” katanya.
Pada majlis tersebut, Jahid turut menyampaikan fail-fail AGM kepada Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang terdapat di DUN Tamparuli.