KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey Suan meminta pelaksanaan dan penguatkuasaan semula dengan segera peruntukan undang-undang dan hak-hak keistimewaan yang dapat mengembalikan semula apa yang telah hilang dan dinafikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak dalam tempoh 58 tahun yang lalu.
Katanya, sejak berpuluh tahun lalu hinggalah ke hari ini, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah banyak didebat, dibincang dan dikaji baik secara akademik, sejarah perundangan, mahupun mengikut nuansa politik pihak-pihak tertentu.
“Pada saya, perjanjian ini adalah sebuah dokumen sakral (sacred document) yang menandai sebuah persepakatan di antara empat wilayah pada asalnya iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak, dan Singapura.
“Walaupun begitu, setelah lima dekad kita bersama, saya tidak menafikan bahawa masih ada perkara yang harus kita teliti semula khususnya dalam persoalan hak dan kelangsungan, terutama sekali bagi wilayah Sabah dan Sarawak,” katanya semasa membahas untuk menyokong Rang Undang-Undang Suatu Akta untuk meminda Perlembagaan Persekutuan di Dewan Negara di sini baru-baru ini.
Katanya, pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan sememangnya satu langkah yang betul dan perlu kerana ia merupakan pemangkin untuk mengembalikan dan memperkasakan kedudukan autonomi Sabah dan Sarawak sebenar seperti yang dinyatakan dalam MA63.
“Namun demikian, walaupun isu yang telah lama tertangguh ini akhirnya telah diselesaikan atas kertas, ia masih menimbulkan persoalan mengenai berapa lamakah lagi rakyat Sabah dan Sarawak harus menunggu untuk hak-hak keistimewaan mereka dapat dikembalikan ke status asal.
“Ini adalah perkara yang mendesak, kerana tanpa jangka masa yang ditetapkan secara khas, Sabah akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi dan terus miskin walaupun kaya dengan sumber asli.
“Perlu ditekankan bahawa sejak 58 tahun yang lepas, Sabah telah dinafikan dan dilucutkan hak dan keistimewaannya di bawah MA63, sama ada melalui pemansuhan undang-undang, penggubalan undang-undang baharu atau ketiadaan penguatkuasaan undang-undang sedia ada,” katanya.
Tambahnya, adalah dijangkakan bahawa banyak kerja yang perlu dilakukan dan juga banyak perkara yang harus diselesaikan untuk melaksanakan dan menguatkuasakan sepenuhnya peruntukan undang-undang dan hak-hak keistimewaan dalam MA63 dan pematuhan masa adalah sangat penting.
“Sehubungan itu, saya memohon agar pemansuhan atau pindaan semua undang-undang yang telah mengubah tujuan asal pemeteraian MA63 dan kemungkinan besarnya “ultra vires” atau di luar kuasa atau bercanggah terhadap Perlembagaan Persekutuan itu sendiri,” ujar beliau.
Bobbey percaya, Perlembagaan Persekutuan yang ada pada hari ini sudah pun luhur dengan mengaplikasikan tuntutan-tuntutan awal semasa pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dahulu dan sebab itu, ada yang menyebutkan bahawa MA63 itu adalah sebagai perjanjian done deal atau selesai urusan.
“Namun, melihat kepada status quo atau keadaan hal semasa serta keperluan tuntutan baharu di antara wilayah, kita harus beralih kepada sebuah rundingan baharu atau suka saya sebutkan sebagai new deal atau perjanjian baru.
“Pindaan Rang Undang-Undang ini perlu disokong dan terus diluluskan, kerana banyak lagi tugas-tugas dihadapan kita untuk melihat kesesuaian dan keserasian Akta-akta yang lain dalam Perlembagaan Persekutuan ini yang perlu disempurnakan secara legislatif tanpa melalui proses perkelahian panjang seperti yang kita lalui pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Bobbey juga berterima kasih dan menghargai usaha Kerajaan Persekutuan untuk memulakan usaha merealisasikan matlamat MA63 melalui Rang Undang-Undang pindaan Perlembagaan Persekutuan khususnya isu Perkara 1(2) serta Perkara 160 (2) yang bukan sahaja memperakui secara literal isi kandungan MA63 tetapi ibarat merawat luka yang telah lama terpendam.
“Begitu juga dengan pengiktirafan Hari Malaysia yang telah sekian lama dikaburi tanpa mendapat sebarang pengabsahan undang-undang di peringkat Persekutuan.
“Setidaknya, mungkin selepas ini tidak hanya Sabah dan Sarawak sahaja yang meraikan hari bersejarah itu. Benar, Sabah merdeka 31 Ogos, benar Tanah Melayu merdeka 31 Ogos dan benar Sarawak merdeka 22 Julai, tetapi tanpa 16 September kita tidak akan kenal negara yang bernama Malaysia,” katanya.