Kemenangan Besar GPS Bukti Rakyat Sarawak Mahukan Kestabilan Politik

Oleh Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian

Advertisements

KOTA KINABALU: Saya ingin mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg di atas kemenangan besar yang diperoleh gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang berakhir semalam, sekaligus mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Kemenangan besar GPS ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Sarawak mahukan kestabilan politik sekali gus kekal meneruskan usaha pembangunan di negeri ini seperti yang telah dijanjikan dalam manifestonya.

Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak yang terus mengundi GPS dan memahami dengan sokongan padu yang diberikan ini ia dapat meneruskan pembangunan lebih cemerlang kepada semua rakyat di negeri ini tanpa mengira agama, bangsa dan etnik.

Sokongan ini juga adalah isyarat jelas bahawa rakyat memberi mandat kepada GPS bahawa mereka menyokong manifesto yang dijanjikan dalam membangunkan dasar ekonomi dan sosial yang mengutamakan rakyat terutama serta misi mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2030.

Ingin juga saya maklumkan di sini Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang diluluskan secara majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat baru-baru ini merupakan satu pembuka jalan ke arah kejayaan dan pembangunan yang lebih besar untuk rakyat Sarawak selain menunjukkan komitmen GPS dan Bersatu Sarawak di peringkat Persekutuan demi rakyatnya.

Kejayaan kelulusan MA 63 adalah satu manifestasi yang benar-benar memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak apabila menyertai Malaysia sekali gus meletakkannya setaraf dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957 sekali gus membantu usaha kerajaan negeri untuk meletakkan Sarawak pada kedudukan yang sama dengan Semenanjung sebagai rakan wilayah dalam Malaysia.

Selain itu saya juga ingin mengambil kesempatan ini supaya kepimpinan GPS dapat terus menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat supaya dapat dipenuhi janji-janji yang telah diberikan pada pilihan raya dan sekali gus meneruskan pembangunan ekonomi yang mampan dan dasar sosial yang mengutamakan rakyat.

Bersatu Sarawak telah menunjukkan komitmen yang tinggi selama ini dalam memastikan kemenangan GPS dalam PRN-12. Kemenangan ini sesungguhnya adalah kemenangan untuk seluruh rakyat Sarawak.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles