KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengorak langkah proaktif dengan memperluaskan lagi skop pemasarannya menerusi Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikatnya iaitu FAMA Corporation Sdn. Bhd. (FAMACorp.) dengan Syarikat Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) Group.
FAMACorp. merupakan anak syarikat kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), sebuah agensi pemasaran di bawah MAFI. Syarikat ini telah diperbadankan pada 15 Ogos 1994. FAMACorp. berperanan antara lainnya sebagai pemangkin supaya pemasaran komoditi, produk keluaran pertanian dan industri asas tani dapat berkembang di dalam dan luar negara yang seterusnya mampu meningkatkan daya saing usahawan ke peringkat yang lebih baik.
Manakala AORB Group merupakan Pengusaha Kapal Tuna berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan buat masa sekarang mempunyai 4 buah kapal C3 yang berlesen, dan pada tahun 2022 bilangan kapal yang berlesen akan bertambah memandangkan AORB telah diluluskan permit sebanyak 16 unit. Pada tahun 2022, melalui kerjasama ini, FAMA dijangka boleh membekal kepada 60 buah kapal C3 yang beroperasi ke Lautan Hindi, dengan nilai potensi perbekalan produk agromakanan oleh FAMA sebanyak RM3 juta atau RM50 ribu/kapal. AORB Group yang berpengkalan di Pelabuhan Batu Maung, Pulau Pinang telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan FAMA bagi urusan perbekalan keperluan barangan makanan (sayur/buah/runcit & pelbagai) bagi keperluan operator-operator kapal penangkapan ikan tuna di Lautan Hindi.
Pada 2 November 2021 lalu, FAMACorp. telah membuat pra perbekalan stok bekalan makanan kepada AORB Group berjumlah RM 35,000.00 kepada dua buah kapal tuna (IBU WIRA 1 & IBU WIRA 2). Stok bekalan makanan ini melibatkan 56 Stock Keeping Unit (SKU). Perbekalan stok makanan melalui pusat borong FAMACorp. Bukit Mertajam ini akan memberikan manfaat kepada usahawan tempatan seperti Pertubuhan Peladang
Kawasan (PPK), Pokok Sena yang membekalkan komoditi Halia, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang membekalkan Ayam, Peserta Ladang Kontrak, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda yang membekalkan Sayuran & Buahan berdaun, Usahawan Industri Makanan yang membekalkan sos, kicap, keropok ikan, kopi & PPK Sg Chena’am membekalkan ikan sejuk beku.
Menyedari akan potensi dan faedah yang akan diperolehi bersama dalam kolaborasi strategik ini di bawah rangka kerja persahabatan, FAMACorp. dan AORB telah menjalinkan kerjasama strategik melalui perjanjian memorandum persefahaman dalam pembekalan keluaran pertanian dan bekalan makanan bagi kepentingan bersama.
Antara skop kerjamasa FAMACorp. dan AORB Group termasuk (i) memudahcara pembekalan stok makanan melalui apa-apa kaedah, luang, platform dan seumpanya, (ii) mewujudkan platform perkongsian maklumat dalam bidang pembekalan stok makanan, logistik serta aspek teknikal, (iii) memberikan mana-mana pihak terutamanya usahawan FAMACorp. usahawan AORB Group akses kepada bekalan dan pengeluaran makanan serta (iv) apa-apa bentuk jalinan kerjasama yang boleh memberikan manfaat kepada kedua-belah pihak.
MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Encik Faidz Afizi Bin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif FAMA Corporation Sdn. Bhd. dan Encik Simon Pua, Pengarah Eksekutif Syarikat Alpha Ocean Resources Berhad serta telah disaksikan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
Turut hadir YB Datuk Seri Hj. Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, YB Dato’ Haji Mohd Fasiah Bin Haji Mohd Fakeh, Pengerusi FAMA, Y.T.M. Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammad Bin Hj. Abdullah, Undang Luak Johol Merangkap Pengerusi Alpha Ocean Resources Berhad Group, YB Senator Datuk John Ambrose, Pengerusi FAMA Corporation Sdn Bhd, Dato’ Zainal Abidin Bin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Azulita Salim, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
FAMA ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 [Akta 141] yang merupakan sebuah agensi pemasaran di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI). FAMA antara lain, bertanggungjawab dalam pemasaran produk agromakanan seperti sayur–sayuran, buah–buahan dan bunga- bungaan serta produk–produk industri makanan
FAMA Mengorak Langkah Perluaskan Skop Pemasaran
Advertisements