LAHAD DATU: Komuniti Labou Toku Segamo menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Forever Sabah semalam bagi meningkatkan kelestarian khazanah alam negara.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.61, Mizma Appedullah berkata, perjanjian tersebut diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran dan perancangan memelihara serta memulihara alam semula jadi.
Menurut beliau, usaha memupuk kesedaran dan kasih sayang komuniti setempat kepada alam sekitar perlu dilaksanakan secara tersusun dan sampai kepada sasaran khususnya melibatkan generasi muda.
“Usaha-usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar terus dilakukan oleh pelbagai pihak di negara ini melibatkan kempen kebersihan, perkhemahan alam sekitar bagi golongan belia, seminar, bengkel, pameran, promo media dan penerbitan bahan-bahan cetak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan MoU antara Komuniti Labou Toku Segamo dengan Forever Sabah di Dewan Bukit Belacon di sini semalam.
Antara kepentingan MoU itu ialah pihak Forever Sabah membantu komuniti Segama membina keupayaan untuk merancang pembangunan ICCA (Kawasan Konservasi adat dan Komuniti) di setiap kampung dan membantu memperbaiki kelangsungan hidup.
Majlis itu diserikan dengan persembahan bermotifkan kebudayaan masyarakat setempat seperti tarian dan muzik.
Tambah Mizma, pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama setiap generasi supaya pembangunan lestari dikekalkan serta penggunaan sumber alam dapat diguna pakai sehingga generasi akan datang secara kualitatif dan kuantitatif.
“Kita berharap usahasama ini akan menjadi contoh kepada pihak lain untuk tampil bersama-sama komuniti setempat menjaga alam semula jadi ini agar dapat diwarisi kepada generasi akan datang. Apa yang kita miliki ini amat berharga dan tidak mampu ditukar ganti jika sudah pupus atau tiada kelak,” katanya.