KINABATANGAN: Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi Zon Timur menunjukkan keseriusan kerajaan untuk memastikan pembangunan sosial khususnya kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ini selaras dengan wawasan kerajaan seperti yang terkandung dalam Dasar Keluarga Kebangsaan, Deklarasi Keluarga Malaysia dan Konsep Keluarga Malaysia.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata pembinaan lebuhraya itu akan membawa kepada peningkatan kemudahan infrastruktur yang akan
mentranformasikan ekosistem logistik dan akan menjadi pemacu perubahan kepada ekonomi dan sisio negara khususnya rakyat di kawasan Kinabatangan.
“Pelaksanaan Projek ini kelak sudah tentu ,semua kawasan terutamanya di kawasan ini dan sekitarnya dapat dihubungkan dengan mudah dan cepat sekali gus aktiviti ekonomi ke semua kawasan dapat dijana,” katanya.
Bung yang juga anggota Parlimen Kinabatangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Lebuhraya Pan Borneo Zon Timur yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Tamu Pekan Kota, Kinabatangan, hari ini.
Menurut Bung, Projek Lebuhraya Pan Borneo khususnya bagi Zon Timur itu diyakini dapat memendekkan masa perjalanan dan mengurangkan kos pengangkutan serta logistik.
“Keadaan ini akan membantu para industri dan pengusaha dari negeri Sabah menjadi lebih kompetitif dalam memasarkan hasil keluaran mereka.
“Malahan, mereka boleh juga mendapatkan bekalan mentah dengan lebih cepat hasil daripada kos pengangkutan yang berpatutan,” katanya.
Beliau juga optimis jajaran projek yang akan melalui bandar dan pekan kecil di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo. Lebuhraya itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar dan pekan kecil.
“Pengguna jalan raya akan memerlukan perkhidmatan setempat seperti kemudahan penginapan. Selain itu, penduduk-penduduk di kawasan terlibat berpeluang untuk memasarkan produk-produk tempatan termasuk kraftangan, hasil industri desa dan produk pelancongan seperti homestay kepada pengguna Lebuhraya yang melalui kawasan tersebut,” katanya.
Bagi penduduk yang selalu berulang-ulang alik semasa cuti dan musim perayaan, Lebuhraya Pan Borneo akan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dengan menyediakan laluan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat,” katanya.
“Saya percaya pelaksanaan projek ini akan secara langsung menyediakan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk Sabah terutamanya di kawasan ini dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan,” kata beliau.