KOTA KINABALU: Majlis Presiden Pakatan Harapan difahamkan Kerajaan berniat untuk membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada minggu hadapan. Malah Kerajaan PH telah berusaha berbuat demikian tetapi tidak berjaya kerana tidak ada majoriti dua pertiga.
Pakatan Harapan pada dasarnya bersetuju menyokong usaha Kerajaan ini memandangkan ia adalah sebahagian dari Perkara 5, Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Pakatan Harapan dan Kerajaan. Pakatan Harapan tidak akan bermain politik tetapi akan berikan sokongan dua pertiga kepada pindaan Perlembagaan ini agar hak rakyat Sabah dan Sarawak dapat diperkukuhkan.
Kami berharap pindaan ini akan mempergiat usaha melaksana segala perkara yang termaktub di dalam MA63 demi menegakkan keadilan buat Sabah dan Sarawak. Pendirian ini adalah sebahagian dari usaha pimpinan Pakatan Harapan sejak sekian lama, termasuk dalam mengiktiraf Hari Malaysia seperti yang diangkat oleh DS Anwar Ibrahim pada 2008, serta pendirian DAP menerusi Sdr Lim Kit Siang di Parlimen yang tidak menyokong pindaan Perlembagaan pada 1976 yang telah mengubah dan menurunkan status Sabah dan Sarawak dari ‘wilayah’ menjadi ‘negeri’.
Pakatan Harapan akan sentiasa berusaha memperjuangkan hak dan keadilan buat Sabah dan Sarawak.
DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
DSP Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)