Generasi Muda Bakal Mencorak Masa Depan Negara – Salleh

KOTA BELUD: Generasi muda bakal menjadi golongan pelapis yang akan menyambung legasi pentadbiran negara terutama dalam usaha mencapai negara maju pada masa akan datang.

Advertisements

Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berpendapat usaha melahirkan golongan belia atau lebih dikenali generasi Y yang berkebolehan harus bermula dari usia muda lagi.

“Seperti yang kita semua sedia maklum, murid-murid merupakan tiang negara dan bakal pemimpin negara. Jadi, asuhan, bimbingan dan dorongan dari semua aspek hidup pada peringkat awal lagi adalah amat penting,” katanya.

Salleh berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2021 SMK Pekan Kota Belud secara maya hari ini.

Menurutnya pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.

“Sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman,” katanya.

Ke arah itu, beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Pentaksiran Bilik Darjah(PBD) sejak tahun 2016 sebagai kayu ukur kompetensi anak-anak di sekolah.

“Kita perlu melahirkan murid-murid yang cemerlang dan kompeten iaitu mencapai standard kualiti untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta,” katanya.

Dalam hal ini, Salleh berkata para pendidik memainkan peranan penting bagi menjayakan aspirasi pendidikan, sekali gus memenuhi agenda untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.

Mengenai Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang, beliau berkata ianya merupakan satu wadah khas untuk meraikan pelajar-pelajar yang telah membuktikan kecemerlangan mereka sama ada dalam bidang akademik, ko-kurikulum dan sahsiah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles