KOTA KINABALU : Isteri kepada Allahyarham Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Datin Seri Normilah Siong merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas iringan doa kepada beliau dan keluarga atas pemergian allahyarham.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan yang terlibat termasuk pihak hospital swasta sepanjang allahyarham mendapatkan rawatan disitu.
Lajim, 66, dimasukkan ke Hospital KPJ selepas disahkan positif COVID-19 ketika mendapatkan rawatan kerana kurang sihat selepas kembali daripada lawatan kerja di Kudat, pada 12 Ogos lalu.
Allahyarham meninggal pada jam 6.23 pagi tadi (Ahad) di Hospital KPJ selepas dimaklumkan oleh pihak hospital kepada isterinya, Normilah mengenai berita itu.
Difahamkan jenazah akan dibawa balik ke Kampung Kabatu, Beaufort selepas proses KKM selesai.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Akhbar kepada allahyarham, Jaafar Wahid turut menyatakan kesedihan beliau atas pemergian seorang tokoh dan pemimpin (Lajim) yang begitu mesra dan prihatin terhadap rakyat.
Beliau berkata, pemergian allahyarham amat mengejutkan semua pihak dan sudah pasti rakyat khususnya di kawasan Beaufort pasti merindui beliau termasuk juga rakan-rakan politik yang lain.
Tambahnya, allahyarham (Lajim) merupakan seorang pemimpin politik yang hebat di negeri Sabah yang satu-satunya memiliki ciri-ciri pemimpin yang disenangi oleh masyarakat di peringkat akar umbi.
“Hari ini kita kehilangan seorang pemimpin yang amat prihatin terhadap rakyat. Yang pasti pemergian beliau akan dirindui semua. Takziah diucapkan kepada keluarga beliau, smoga yang ditinggalkan tabah dengan ujian ini, ” katanya.
— Sumber KC