Persatuan Pengguna Bijak Sabah sokong pelantikan Ismail Sabri

KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah melahirkan sokongan terhadap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Advertisements

Presidennya, David Chan yakin dengan pengalaman dan kewibawaan Ismail Sabri, beliau mampu mentadbir negara dengan baik selain menguruskan masalah pandemik yang kini masih tinggi.

Menurut beliau, sebagai Menteri Kanan Pertahanan yang bertanggungjawab secara langsung dengan pengurusan Covid-19, beliau diharapkan meneruskan kesinambungan usaha sebelum ini.

“Bagi pihak persatuan, kita mengalu-alukan pemilihan dan pelantikan beliau. Sememangnya pelantikan itu adalah tepat memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas sebagai menteri Kabinet selain pengalaman menguruskan pandemik.

“Kita amat berharap beliau akan terus komited membantu rakyat termasuk menstabilkan semula ekonomi negara yang begitu banyak terjejas khususnya di negeri Sabah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pelantikan itu juga diharapkan dapat terus mengukuhkan hubungan baik antara kerajaan Perikatan Nasional dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah bagi menambah baik program pembangunan dan kemajuan negeri.

David berkata, Ismail Sabri memikul tanggungjawab yang lebih besar memandangkan negara belum mencapai imuniti kelompok yang diharapkan mampu menangani kemelut wabak di negara ini.

“Dalam tempoh kita mengejar tahap imuniti kelompok ini, semua pihak perlu terus memberikan kerjasama dengan menjaga prosedur operasi standard untuk mengekang pandemik daripada terus merebak.

“Pesanan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham juga perlu diberi perhatian oleh semua kerana setiap orang tidak boleh mengambil ringan dengan SOP dalam keadaan banyak sektor ekonomi telah dibuka semula,” ujar beliau.

Tambah David lagi, setiap orang masih perlu disiplinkan diri dengan memakai pelitup muka termasuk yang dua lapis jika perlu, mengamalkan penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.

“Elak berada di tempat sesak dan sempit. Jaga diri dan segera mengambil suntikan vaksin kepada yang belum ada temu janji vaksinasi,” katanya lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles