Oleh Wartawan Jesselton Times
KOTA KINABALU: Lagu “Menghitung hari” dendangan penyanyi terkenal Kris Dayanti amat popular di negara ini.
Tanpa diduga situasi menghitung hari turut dirasai pemimpin nombor satu negara.
September mendatang ini akan menjadi bulan “kritikal” kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ini berikutan tindakan sekurang-kurangnya 15 anggota Parlimen Umno, termasuk dua dari Sabah menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.
Ini tidak termasuk anggota Parlimen pembangkang dan bebas yang sepakat menolak Perdana Menteri.
Susulan penarikan balik sokongan anggota Parlimen Umno itu dan digabung dengan jumlah kerusi Parlimen pembangkang dan bebas, Muhyiddin secara kiraan matematik mudah dilihat hilang majoriti sokongan.
Namun, Muhyiddin menegaskan sebaliknya, dan beliau bersedia berdepan usul undi percaya atau undi tidak percaya pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan bulan September ini.
Ramai pemerhati politik berpendapat “tiada yang mustahil dalam arena politik” dan pernyataan sokongan di luar tidak semestinya diterjemahkan sebagai undi apabila undian rasmi dibuat di Parlimen.
Menurut mereka, selagi belum dibahas dan seterusnya diundi di Parlimen, “permainan masih terbuka”.
Di kala Muhyiddin menghitung hari, terutama selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu sebelum mesyuarat mingguan kabinet persekutuan, presiden Bersatu itu dikatakan kini menimbang beberapa opsyen.
Menurut laporan beberapa Portal Berita semenanjung, antara opsyen itu ialah meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan namun ia tertakluk kepada keadaan semasa pandemik Covid-19.
Laporan Portal Berita itu turut memetik sumber tentang peringatan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri mengenai Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan semasa sesi pertemuan itu di Istana Negara.
Perkara 43 (4) menetapkan bahawa seorang perdana menteri diwajibkan untuk mengundurkan diri jika dia tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen.
Berikutan perkembangan terbaharu itu, Perdana Menteri pada petang Rabu mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan beberapa pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) di Perdana Putra di Putrajaya.
Menurut BERNAMA, antara yang hadir ialah Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.
Portal Berita The Vibes pula memetik sumber dalaman yang memberi petunjuk awal bahawa anggota kabinet dikatakan telah meminta Perdana Menteri supaya terus kekal menjalankan tugasnya dan menguji keabsahaannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen seperti yang diumumkan sebelum ini.
Bagaimanapun, berikutan desakan yang semakin lantang, Perdana Menteri difahamkan sedang menimbang untuk mengadakan sesi undi percaya di Parlimen lebih awal.
Pemerhati politik berkata sekiranya Perdana Menteri benar-benar meletakkan jawatan, belum ada petanda jelas colan Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti.
Mereka berpendapat antara tokoh yang berpotensi mengambil alih jawatan Perdana Menteri ialah Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.