KOTA KINABALU: Kira-kira 23 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, dekat sini pagi tadi.
Turut terbakar lima kenderaan dan enam motosikal.
Kebakaran itu berlaku selang dua minggu selepas kejadian kebakaran di kampung yang sama pada 6 Julai lepas.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar pukul 4.32 pagi.
Sekurang-kurangnya 10 jentera bomba bersama 36 pegawai pelbagai pangkat dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan itu.
Anggota bomba dan penyelamat berjaya mengawal keadaan pada pukul 5.49 pagi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.