TAMBUNAN : Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah – Tambunan ,Dato’ Victor Peter Paut hari ini menyerahkan sumbangan ikhlas peribadi beliau kepada adik Olisih Divine di rumah kediaman keluarga itu di Kg Tondulu.
Bantuan yang bertujuan bagi meringankan beban rawatan kesihatan itu telah disampaikan kepada ibu kepada Adik Olisih Divine dan telah disampaikan oleh Dr. Romanus Joannes yang mewakili Victor petang Jumaat.
Sumbangan ini adalah tanda keprihatinan terhadap keadaan kesihatan Adik Olisih Divine yang kini sedang menjalani rawatan.
Menurut ibunya, anak beliau, Olisih Divine telah dijangkiti kuman melalui jarum BCG (Disseminated BCG Disease) dan mempunyai imun badan yang terlalu rendah.
Buat masa ini, doktor telah menyarankan agar Adik Olisih menjalani ujian genetik (Mendelian Susceptibility to Mycobacterial Disease) bagi mengenal pasti penyakit sebenar yang dihadapinya.
“Terima kasih atas keprihatinan Victor, anak saya Olisih Divine kena jangkitan kuman melalui jarum BCG (Disseminated BCG Disease) sama imun badan terlalu rendah… jadi sekarang doktor sarankan anak saya ambil ujian genetik untuk kesan apa sakit dia yang betul-betul,” kata ibu kepada Adik Olisih.
Semoga dengan sumbangan ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga dan semoga Adik Olisih Divine diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan rawatannya.
