Kerjasama strategik penting bagi memperluas Program Naungan Kasih di Sabah

KOTA KINABALU : Kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor korporat dan pertubuhan masyarakat sivil perlu diperkukuh bagi memastikan kesinambungan serta perluasan Program Keibubapaan Positif Naungan Kasih kepada lebih ramai keluarga di Sabah.

Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong berkata, pembangunan keluarga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan rakyat dan pembangunan modal insan negeri.

“Keayaan sesuatu program pembangunan sosial tidak seharusnya diukur melalui pelaksanaan projek semata-mata, tetapi juga melalui keupayaannya untuk diteruskan, diperluas dan disepadukan dalam perkhidmatan sedia ada,” katanya.

Teks ucapan Chong dibaca oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Henry Idol.

Program Naungan Kasih dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bersama UNICEF Malaysia bagi memperkukuh kemahiran keibubapaan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berumur dua hingga sembilan tahun.

Beliau juga menggalakkan pelbagai organisasi membantu memperkenalkan chatbot percuma Naungan Kasih yang menyediakan lapan modul keibubapaan, sambil menekankan kepentingan sokongan bersemuka bagi komuniti yang mempunyai akses digital terhad.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan MPMS, Jais Asri dalam ucapan alu-aluannya berkata, 900 ibu bapa dan penjaga telah mendapat manfaat daripada program tersebut sejak diperkenalkan di Sabah pada tahun 2025.

Katanya, program itu membantu ibu bapa memahami perkembangan anak, berkomunikasi dengan lebih berkesan, mengurus tekanan serta membimbing tingkah laku anak tanpa menggunakan kekerasan.

“Walaupun ibu bapa merupakan peserta program, kanak-kanak sebenarnya adalah penerima manfaat yang paling utama. Saya berharap program ini akan terus ada penambahbaikan, termasuk dari segi aspek melatih lebih ramai fasilitator.

“Apabila kita melatih lebih ramai fasilitator di Sabah, program ini mampu dibawa ke lebih banyak daerah, termasuk di luar bandar,” Jais berkata.

Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan pencegahan dalam kebajikan dan pembangunan sosial melalui pengukuhan kemahiran keibubapaan.

Majlis hari ini turut menampilkan dua sesi plenari yang mengetengahkan penemuan kajian, impak program, pengalaman rakan pelaksana serta perkongsian ibu bapa, selain penyampaian sijil pencapaian kepada para fasilitator.

Hadir bersama Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negeri Sabah Shahariah Saharom, Pegawai Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF Malaysia Terry Saw dan Setiausaha Eksekutif MPMS Joeanne Lee.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles