KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, membangkitkan keperluan mendesak untuk menyelesaikan masalah sekolah daif di Sabah, termasuk mempercepatkan pembinaan semula sekolah yang mempunyai bangunan pada Skala 6 dan Skala 7.
Menurutnya, sehingga 30 Jun 2025, sebanyak 259 sekolah di Sabah mempunyai bangunan Skala 7 manakala 332 sekolah lagi berada pada Skala 6.
“Sehubungan itu, saya ingin meminta penjelasan terhadap pengurangan peruntukan Program Pembangunan Pendidikan Sabah dan Sarawak sebanyak RM21.95 juta serta peruntukan Perolehan Tanah Pendidikan sebanyak RM55.53 juta.
“Ini kerana keperluan pembangunan infrastruktur pendidikan di Sabah masih mendesak,” katanya.
Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata demikian dalam perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Madius turut meminta KPM memberikan penjelasan mengenai tarikh tender pembinaan semula SMK Tenghilan dan SMK Tamparuli serta sasaran penyelesaian kedua-dua projek berkenaan.
“Saya juga ingin membangkitkan keperluan pembinaan jejantas di hadapan SK Pekan Tamparuli bagi meningkatkan keselamatan murid dan pengguna jalan raya, memandangkan kemalangan maut pernah berlaku di lokasi tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan pendidikan di Sabah memerlukan perhatian serius dan tindakan konkrit, khususnya dalam memastikan murid mendapat kemudahan sekolah yang selamat dan kondusif untuk pembelajaran.
