KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia diminta menyegerakan tindakan menangani pelbagai isu berkaitan pembangunan infrastruktur pendidikan di daerah Sipitang dan Beaufort.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata tindakan segera penting memandangkan keadaannya yang begitu kritikal, demi mewujudkan persekitaran selesa dan kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran.
Katanya, beberapa projek baik pulih dan gantian penuh bangunan sekolah yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), masih belum dilaksanakan.
Antaranya projek baik pulih atau gantian penuh bangunan daif bagi tiga sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort yang terletak dalam Parlimen Sipitang, iaitu SK Batandok, SK Garama dan SK Weston.
“Selain itu, kita mohon agar projek gantian penuh satu blok bangunan di SK Luagan, Beaufort, dapat dipercepatkan menerusi Cadangan One Line Item (OLI).
“Terdapat satu blok bangunan yang menempatkan empat buah bilik darjah berada dalam keadaan daif, tidak selamat dan tidak lagi boleh digunakan,” katanya dalam perbahasan Peringkat Jawatankuasa KPM di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas kelulusan peruntukan awal RM200,000 bagi kerja pengubahsuaian bilik-bilik khas untuk dijadikan ruang pembelajaran sementara.
Matbali juga berkata banjir yang kerap melanda daerah Sipitang dan Beaufort turut menjejaskan proses pembelajaran, justeru beberapa tindakan dicadangkan, termasuk memindahkan sekolah yang kerap terjejas ke kawasan baharu.
Berdasarkan Laporan PPD Beaufort bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, sebanyak 39 sekolah di daerah Beaufort dan Sipitang telah terkesan akibat banjir.
Daripada jumlah tersebut, 33 merupakan sekolah rendah, tiga sekolah menengah, termasuk sebuah dalam Parlimen Sipitang iaitu SMK Gadong, dua buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sebuah Kolej Vokasional.
Daripada 33 sekolah rendah yang terkesan, sebanyak 14 terletak dalam Parlimen Sipitang, iaitu SK Lago, SK Suasa, SK Garama, SK Bangkalalak, SK Jabang, SK Lupak, SK Luagan, SK Kabajang, SK Bukau, SK Padas Damit, SK Gadong, SK Bentuka, SK Kebulu, SK Kepawa dan SK Lajau.
“Bagi menangani isu banjir dan sekolah daif secara lebih berkesan, pihak berkaitan telah mengemukakan permohonan pada bulan Ogos dan September tahun lalu untuk mempertimbangkan pemindahan beberapa sekolah ke tapak baharu yang lebih selamat,” katanya.
Matbali berkata di kawasan Sipitang, terdapat enam isu berkaitan prasarana pendidikan perlu perhatian segera, antaranya menggantikan kantin sekolah yang uzur dengan bangunan baharu serta menyediakan ruang makan khusus bagi murid Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Yang lain termasuk pembangunan STEM Hub Daerah Sipitang, menggantikan bangunan beberapa sekolah rendah yang masih menggunakan struktur kayu dan uzur, dan ruang menunggu berbumbung di luar kawasan sekolah.
Turut dibangkitkan kuarters guru yang diperbuat daripada kayu dan telah uzur digantikan dengan kediaman baharu, serta menaik taraf dan menyelenggara kemudahan Asrama Desa SK Melalia, SK Ulu Sipitang, SK Meligan dan SK Long Pasia yang menempatkan murid dari kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Kemudahan seperti bilik tidur, tandas, ruang makan dan ruang belajar perlu berada dalam keadaan baik dan selesa.
“Sistem keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) juga wajar dipertingkatkan,” katanya.