KOTA KINABALU: Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO) menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Negeri Sabah, menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk membersihkan penempatan di Kampung Pondo, Pulau Gaya.
Setiausaha Agung USBO Dato’ Baharul Sawi berkata pertubuhan itu turut menyambut baik hasrat kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor untuk memindahkan penduduk di situ ke penempatan lain yang sesuai.
“Penempatan (setinggan) di Kg Pondo tidak lagi sesuai kerana kedudukanya terlalu dekat dengan bandaraya Kota Kinabalu iaitu ibu negeri Sabah.
“Ia bukan saja tidak enak dipandang atau merosakkan pemandangan tetapi juga memberi kesan isu kebersihan di kawasan itu,” katanya.
Baharul berkata demikian ketika diminta mengulas isu notis pengosongan kg Pondo, Pulau Gaya.
Beliau berkata langkah drastik itu wajar dilaksanakan bagi membolehkan pulau tersebut dibangunkan, termasuk
sebagai destinasi pelancongan yang sekaligus membantu meningkatkan ekonomi negeri.
Beliau juga memuji ketegasan dan keikhlasan Hajiji memilih kemajuan berbanding populariti diri dalam menangani penempatan setinggan di kg Pondo, Pulau Gaya.
“Kg Pondo tidak sesuai di gazetkan sebagai sebuah kampung. Kawasan ini sangat perlu dan berpotensi untuk diibangunkan oleh kerajaan,” katanya.
Baharul berharap satu penyelesaian yang menyeluruh dan mampan dapat direalisasikan bagi mengelakkan penempatan tanpa izin daripada muncul semula di Pulau Gaya.
.
