KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau membangkitkan isu kualiti dan liputan perkhidmatan Internet di kawasan kampung serta sekolah di Parlimen Tuaran bagi memastikan penduduk luar bandar tidak terus berhadapan masalah kesalinghubungan digital.
Menerusi soalan lisan kepada Kementerian Komunikasi pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Isnin, beliau meminta penjelasan mengenai jumlah kampung, sekolah dan klinik yang gagal mencapai Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS), termasuk pelan tindakan kerajaan untuk mengatasi jurang liputan, kapasiti rangkaian, sambungan backhaul dan penyelenggaraan.
Dalam jawapan kementerian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan sebanyak 33 ketidakpatuhan direkodkan di kawasan kampung dan sekolah dalam Parlimen Tuaran hasil audit yang dijalankan dari 1 Januari hingga 1 September 2026.
“Daripada jumlah itu, 28 ketidakpatuhan direkodkan di kawasan kampung manakala lima lagi di kawasan sekolah.
“Audit berkenaan melibatkan 37 lokasi, terdiri daripada 30 lokasi kampung, enam sekolah dan sebuah klinik,” ujar kementerian tersebut.
Menurut kementerian itu lagi, tiada ketidakpatuhan direkodkan di klinik yang diaudit.
“Sebagai tindakan susulan, MCMC bersama penyedia perkhidmatan telah mengenal pasti beberapa langkah penambahbaikan, termasuk pengoptimuman rangkaian sedia ada bagi menangani 19 ketidakpatuhan di kawasan kampung dan lima di kawasan sekolah.
“Kerja penambahbaikan liputan dan kapasiti rangkaian turut dilaksanakan bagi menangani tiga ketidakpatuhan di kawasan kampung.
“Kerajaan juga mengenal pasti perancangan pembinaan 10 tapak baharu di kawasan kampung dan dua tapak baharu di kawasan sekolah,” tambah kementerian itu lagi.
Bagaimanapun, antara perkara yang dibangkitkan Madius ialah keperluan memastikan pelaksanaan tindakan penyelesaian mempunyai perancangan yang jelas mengikut kawasan, khususnya dari segi jenis intervensi dan sasaran tarikh siap.
Menurut jawapan kementerian, pelan tindakan bagi menangani jurang liputan dan kapasiti rangkaian, termasuk sambungan backhaul, masih diperincikan berdasarkan penilaian teknikal, prestasi rangkaian semasa, kesiapsiagaan tapak serta kelulusan berkaitan.
MCMC turut akan meneruskan pemantauan penyelenggaraan rangkaian, termasuk gangguan berulang, bekalan kuasa, sistem transmisi dan perkakasan bagi memastikan perkhidmatan komunikasi beroperasi pada tahap optimum.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan memaklumkan pelaksanaan JENDELA Fasa 2 akan dipertingkatkan secara berperingkat bermula penghujung suku keempat 2026 menerusi penyediaan perkhidmatan selular 4G atau gabungan 4G dan 5G serta jalur lebar satelit mengikut kesesuaian lokasi.
“Pelaksanaan itu mengambil kira faktor kepadatan penduduk, bentuk muka bumi dan ketersediaan infrastruktur sedia ada bagi memperluas akses komunikasi, termasuk di Parlimen Tuaran.
“Isu berkenaan terus memerlukan perhatian kerana akses Internet yang stabil dan berkualiti penting untuk keperluan pendidikan, urusan harian masyarakat serta perkembangan ekonomi digital, khususnya bagi penduduk di kawasan luar bandar,” jelas Kementerian Komunikasi lagi.
