KOTA KINABALU : Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS) menyokong tindakan kerajaan Sabah melalui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengarahkan pengosongan kawasan tertentu di Pulau Gaya, khususnya melibatkan individu bukan penduduk tempatan serta mereka yang tidak memiliki dokumen sah.
Penasihat PPDJS, Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, tindakan berkenaan perlu dilihat sebagai usaha kerajaan memperkukuh aspek keselamatan, kebersihan, ketenteraman awam serta penguatkuasaan undang-undang di kawasan pulau berkenaan.
Beliau berkata, pemberian notis 14 hari untuk mengosongkan kawasan terbabit yang kini semakin menghampiri tarikh akhir perlu disusuli tindakan penguatkuasaan secara teratur, tegas dan berlandaskan undang-undang.
“PPDJS menyokong usaha kerajaan negeri di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan Pulau Gaya tidak terus menjadi kawasan yang berpotensi menimbulkan pelbagai masalah keselamatan dan sosial.
“Langkah ini penting bagi memastikan kawasan berkenaan berada dalam keadaan lebih terkawal, bersih dan selamat, bukan sahaja kepada penduduk setempat, malah kepada pelancong serta masyarakat yang berkunjung ke pulau itu,” katanya.
Menurutnya, kawasan penempatan yang tidak teratur dan dihuni individu tanpa dokumen sah berpotensi menimbulkan pelbagai cabaran, termasuk masalah kebersihan, kesesakan penempatan, kegiatan jenayah serta kesukaran pihak berkuasa menjalankan pemantauan.
Beliau berkata, penguatkuasaan juga penting bagi membendung kemungkinan Pulau Gaya dijadikan lokasi persembunyian individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah, termasuk penyeludupan rokok serta aktiviti lain yang melanggar undang-undang.
“Pulau-pulau yang mempunyai kawasan terpencil dan penempatan tidak terkawal berpotensi dimanfaatkan pihak tertentu untuk menyembunyikan diri daripada penguatkuasaan.
“Justeru, tindakan kerajaan ini perlu dilihat sebagai langkah pencegahan dan pemulihan kawasan, bukannya semata-mata tindakan mengusir penduduk,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd. Zaki menegaskan kerajaan perlu membezakan secara jelas antara individu yang tidak memiliki dokumen sah dengan penduduk tempatan yang sudah menetap di Pulau Gaya sejak berdekad-dekad lamanya.
Katanya, penduduk asal dan komuniti tempatan yang mempunyai sejarah penempatan turun-temurun di pulau itu tidak seharusnya menjadi mangsa kepada tindakan penguatkuasaan berkenaan.
“Sejarah membuktikan bahawa penempatan awal di Pulau Gaya sudah wujud sejak era penjajahan British. Ada penduduk tempatan yang sudah menetap di sana sejak sekian lama, malah kehidupan dan identiti mereka sudah sebati dengan pulau berkenaan.
“Mereka mempunyai sejarah, keluarga, kehidupan dan hak yang perlu dihormati. Jangan sampai tindakan penguatkuasaan yang bertujuan baik akhirnya turut menjejaskan penduduk tempatan yang tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, prinsip ‘first in time, prevail’ atau pihak yang terlebih dahulu mempunyai hubungan dan hak terhadap sesuatu kawasan perlu diberikan pertimbangan sewajarnya, terutama kepada komuniti yang telah menetap secara turun-temurun.
Menurutnya, kerajaan perlu memastikan proses pengosongan dilakukan secara teliti dengan mengenal pasti status setiap penghuni sebelum sebarang tindakan diambil.
“Penduduk tempatan yang sudah lama tinggal di Pulau Gaya jangan sekali-kali diusik tanpa asas yang jelas. Mereka perlu dipertahankan dan hak mereka sebagai komuniti tempatan mesti dihormati.
“Kita tidak mahu isu ini dipolitikkan. Apa yang penting ialah tindakan terhadap mereka yang tidak mempunyai dokumen sah diteruskan, manakala penduduk tempatan yang mempunyai sejarah penempatan di situ diberikan perlindungan sewajarnya,” katanya.
Mohd. Zaki turut mengingatkan supaya usaha pembangunan atau pemajuan Pulau Gaya pada masa hadapan tidak menjadikan penduduk asal sebagai korban kepada kepentingan ekonomi atau pelaburan.
Katanya, pembangunan sepatutnya membawa manfaat kepada masyarakat setempat dan bukan menyebabkan mereka kehilangan tempat tinggal atau terpinggir daripada kawasan yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
“Jangan sampai atas nama pembangunan, keselamatan atau pelaburan besar, penduduk tempatan yang sudah berpuluh tahun tinggal di Pulau Gaya akhirnya terpaksa meninggalkan tanah dan kehidupan mereka sendiri.
“Kerajaan perlu memastikan tindakan ini benar-benar berasaskan kepentingan awam, keselamatan dan undang-undang, bukan membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau berkata, PPDJS yakin tindakan kerajaan Sabah melalui DBKK itu mampu membawa perubahan positif kepada Pulau Gaya sekiranya dilaksanakan secara adil, berhemah dan konsisten.
“PPDJS berdiri bersama kerajaan dalam usaha menangani penempatan tidak sah dan membanteras kegiatan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.
“Pada masa sama, kita mahu penduduk tempatan Pulau Gaya terus dipertahankan. Penguatkuasaan mesti tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang, tetapi hak dan maruah masyarakat tempatan tidak boleh diketepikan,” katanya.
