MADIUS BANGKIT ISU BANGUNAN USANG SMK TAMPARULI DAN SMK TENGHILAN, KPM SASAR BILIK DARJAH BAHARU SIAP PADA 2027

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, membangkitkan keperluan mempercepatkan penggantian bangunan Skala Tujuh dan kelas kabin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli serta SMK Tenghilan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan murid serta guru di kedua-dua sekolah berkenaan.

Isu itu dibangkitkan Madius menerusi soalan lisan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Dewan Rakyat hari ini, dengan meminta penjelasan mengenai pelan pelaksanaan bertarikh, status peruntukan, tarikh tender dan sasaran penyiapan projek penggantian bangunan berkenaan.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, KPM memandang serius keperluan penggantian bangunan berskala tujuh dan penyediaan kemudahan bilik darjah yang lebih selamat, khususnya di SMK Tenghilan dan SMK Tamparuli.

“Pemeriksaan awal telah diselaraskan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah pada 3 Ogos 2026, sebelum Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 2 Tahun 2026 dilaksanakan pada 18 Ogos lalu dengan penyertaan Ahli Parlimen Tuaran serta agensi negeri berkaitan.

“Hasil daripada tindakan tersebut, bangunan berskala tujuh yang dikenal pasti berisiko telah dikosongkan serta-merta bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Bagi SMK Tenghilan, Wong berkata KPM sedang merancang pembinaan 14 bilik darjah sementara menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) di bawah Rolling Plan 2 (RP2), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Kerja-kerja awalan disasarkan bermula pada awal Februari 2027, dengan tempoh pembinaan antara enam hingga sembilan bulan dan sasaran siap pada Disember 2027,” katanya.

Bagi SMK Tamparuli pula, KPM memaklumkan bahawa pembinaan enam bilik darjah sementara sedang dilaksanakan dan dijadualkan siap pada Disember 2026. Selain itu, kementerian merancang pembinaan antara 14 hingga 16 bilik darjah menggunakan kaedah Modular IBS di bawah peruntukan RP2 RMK13 tahun 2027.

“Kerja-kerja awalan disasarkan bermula pada awal Februari 2027, dengan tempoh pembinaan antara enam hingga sembilan bulan,” jelasnya.

Mengulas penyelesaian jangka panjang, Wong berkata KPM sedang menyelaras pelaksanaan penilaian integriti struktur bangunan atau Structural Integrity Testing (SIT) bersama JKR Sabah bagi menentukan tahap keselamatan bangunan sedia ada dan mengenal pasti blok yang perlu dirobohkan serta dibina semula.

“Berdasarkan hasil penilaian SIT tersebut, KPM merancang mengemukakan permohonan peruntukan di bawah RP3 RMK13 tahun 2028 bagi projek penggantian atau pembinaan semula bangunan akademik yang dikenal pasti tidak selamat.

“Bagaimanapun, saya menegaskan bahawa proses penilaian dan penyediaan permohonan berkenaan perlu dipercepatkan.

“Usaha ini kita perlu percepatkan kerana untuk kita masukkan permohonan di bawah RP3, RMK13, ia perlu dimasukkan sebelum bulan Mac tahun hadapan,” katanya.

Madius sebelum ini turut mengikuti perkembangan isu keselamatan bangunan di kedua-dua sekolah menerusi Program Tindak Susul Parlimen dan mesyuarat penyelarasan bersama agensi berkaitan.

“Perkembangan yang diumumkan KPM itu merupakan langkah awal ke arah penyelesaian masalah infrastruktur pendidikan di kawasan Tuaran. Namun, pelaksanaan penilaian SIT, kelulusan peruntukan dan jadual pembinaan bangunan kekal perlu dipantau supaya perancangan tersebut dapat diterjemahkan kepada tindakan yang nyata.

“Keselamatan murid dan guru serta penyediaan kemudahan pendidikan yang kondusif perlu terus menjadi keutamaan dalam pembangunan infrastruktur sekolah di Sabah,” ujar Madius.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles