TAMBUNAN : Pembukaan 40 cawangan baharu Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di Mukim Monsolurung yang disempurnakan oleh Penyelaras PGRS DUN Tambunan, Dato’ Victor Peter Paut di Gerai Simpang Bogian pada Isnin menjadi detik bersejarah yang membuktikan jentera organisasi PGRS di DUN Tambunan kini bergerak lebih tersusun, lebih kuat dan lebih bersedia berkhidmat kepada rakyat.
Victor menegaskan 40 cawangan dalam satu mukim bukan sekadar angka, tetapi satu tanggungjawab organisasi yang besar.
Beliau mengingatkan semua ketua cawangan agar tidak hanya berbangga dengan jumlah cawangan, sebaliknya memastikan setiap cawangan benar-benar hidup, aktif, tersusun dan berfungsi dengan kepimpinan yang jelas, AJK yang berfungsi, ahli yang aktif dan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Katanya, membuka cawangan memerlukan usaha, tetapi menghidupkan cawangan memerlukan kepimpinan, mengekalkannya memerlukan komitmen dan memastikan ia dihormati masyarakat memerlukan integriti serta tanggungjawab.
Dalam amanatnya, beliau menegaskan jawatan ketua cawangan adalah amanah, bukan keistimewaan.
“Setiap ketua cawangan mesti menjaga hubungan dengan ahli, memastikan komunikasi dengan Penyelaras DUN berjalan baik, menyampaikan maklumat secara teratur dan tidak membiarkan ahli berasa tersisih selepas didaftarkan,” katanya.
Beliau mahu mereka menjadi pemimpin yang dihormati kerana sikap dan tanggungjawab, bukan kerana jawatan, serta sentiasa turun bertemu ahli dan mendengar pandangan mereka.
Victor turut menekankan perpaduan dan disiplin sebagai teras organisasi.
Perbezaan pendapat adalah perkara biasa, namun ia tidak boleh memusnahkan perpaduan.
“PGRS DUN Tambunan mesti bergerak dengan budaya kerja yang matang, berdisiplin dan saling menghormati, tanpa budaya menjatuhkan rakan sendiri atau menyebarkan cerita yang belum dipastikan,” jelasnya ketika berucap dalam perasmian berkenaan.
Beliau menegaskan, pasukan yang paling bersedia memikul tanggungjawab adalah lebih penting daripada pemimpin yang paling menonjol.
Beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab PGRS tidak terhad kepada urusan parti semata-mata, tetapi juga kepada masyarakat Tambunan yang masih memerlukan perhatian dalam aspek infrastruktur kampung, jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, komunikasi, pendidikan, peluang pekerjaan dan ekonomi luar bandar.
“Majlis akan berakhir, tetapi tugas sebenar cawangan baru bermula.
Dengan tiga pesanan iaitu peliharalah perpaduan, laksanakan tanggungjawab dengan integriti dan kekalkan semangat kerja berpasukan,” ujarnya lagi.
