Matbali mahu KKR pantau projek, tangani jalan rosak di Sipitang

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR) memperketat pemantauan projek jambatan, jalan raya dan penyelenggaraan jalan di kawasan Sipitang.

Beliau berkata pemantauan rapi dan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan projek yang dilaksanakan itu siap mengikut jadual spesifikasi yang ditetapkan.

Katanya, projek Jambatan Sungai Pengarah di Kilometer 3.40, Jalan Ulu Sipitang-Sungai Bubus, Sipitang, perlu disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan.

Menurutnya, berdasarkan laporan kemajuan sehingga 25 Okt 2026, kemajuan fizikal projek itu mencapai 75 peratus berbanding 79 peratus mengikut jadual, iaitu kelewatan sebanyak empat peratus atau bersamaan 26 hari.

“Tarikh siap asal pada 9 Sept 2026 telah dilanjutkan menerusi lanjutan masa (EOT) pertama selama 227 hari, menjadikan tarikh siap baharu pada 24 April 2027.

“Bagaimanapun, kelulusan lanjutan masa ini bukanlah lesen untuk melanjutkan kelewatan. Saya berharap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan pemantauan berkala dan berkesan serta memastikan kontraktor memberikan prestasi kerja yang sewajarnya,” katanya dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat semalam.

Matbali berkata jambatan berkenaan amat penting bagi aktiviti ekonomi, pendidikan dan akses kepada kemudahan asas.

Beliau turut membangkitkan keperluan menyediakan peruntukan mencukupi bagi penyelenggaraan jalan raya sedia ada di daerah Sipitang, termasuk Jalan Kampung Bukau menuju Simpang Kampung Lumadan dan Jalan Padas Valley.

Katanya, walaupun beberapa laluan berkenaan berkaitan dengan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, tanggungjawab penyelenggaraan oleh pihak konsesi tetap perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Jalan berlubang, permukaan mendap dan tidak rata, bahu jalan terhakis serta sistem saliran tersumbat bukan sekadar kecacatan fizikal, tetapi boleh menjadi ancaman kepada keselamatan pengguna.

“Jangan tunggu jalan runtuh baru hendak bertindak dan jangan tunggu kemalangan berlaku baru hendak mencari punca. Penyelenggaraan yang baik ialah langkah pencegahan yang mampu menyelamatkan nyawa, masa dan wang rakyat,” katanya.

Dalam perbahasan sama, beliau turut membawa perhatian kepada keadaan jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan yang memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan secara menyeluruh.

Berdasarkan senarai kerosakan serta cadangan penyelenggaraan yang dikemukakan, katanya, kerja pembaikan melibatkan kira-kira 79.741 kilometer jalan raya merangkumi 33 segmen laluan, termasuk jalan di Kampung Bintuka, Kampung Suasa, Kampung Weston, Garama dan Bangkalalak.

Sehubungan itu, beliau berharap KKR memberikan perhatian serius terhadap senarai kerosakan berkenaan, khususnya dari segi penetapan keutamaan pelaksanaan, penyediaan peruntukan dan jadual penyelenggaraan yang jelas.

Matbali turut menggesa KKR menaik taraf Jalan Lintas-Luagan, Sipitang, sepanjang 1.55 kilometer daripada jalan batu kelikir kepada jalan berturap bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.

Beliau berkata laluan yang dibina sejak Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) itu merupakan penghubung penting bagi penduduk Kampung Luagan dan Kampung Batu 7 Pantai ke Pekan Sipitang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles