KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil tindakan segera bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo, khususnya dari Bulatan Berungis, Tuaran hingga Bandar Sierra.
Beliau berkata terdapat kawasan pembinaan yang tidak mempunyai pencahayaan mencukupi pada waktu malam, sedangkan kerja-kerja pembinaan masih dijalankan dan kenderaan terus menggunakan laluan berkenaan.
“Keadaan ini boleh membahayakan pengguna jalan raya sekiranya lorong, lencongan dan halangan di hadapan tidak dapat dilihat dengan jelas.
Sehubungan itu, beliau meminta kementerian mendapatkan rekod lengkap daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai jumlah kemalangan dan kematian yang berlaku sepanjang jajaran berkenaan sejak pembinaan bermula.
“Berapa kemalangan sudah berlaku dan berapa nyawa sudah terkorban sepanjang jajaran ini? Berapa kejadian berlaku pada waktu malam, dan adakah kekurangan pencahayaan dikenal pasti sebagai faktor penyumbang?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi KKR di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Isnin.
Madius turut meminta kontraktor menyediakan pencahayaan sementara yang mencukupi, lampu amaran dan papan tanda yang jelas bagi memastikan keselamatan pengguna sepanjang tempoh pembinaan.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga perlu menjalankan pemeriksaan pada waktu malam supaya keadaan sebenar di tapak pembinaan dapat dinilai.
“Pemotongan rumput yang tidak dilaksanakan secara berkala juga menghalang pandangan pengguna, khususnya di kawasan simpang, selekoh dan papan tanda,” jelas Presiden Kehormat UPKO itu lagi.
Katanya, jadual pemotongan rumput perlu dipatuhi dan kerja-kerja berkenaan hendaklah diperiksa sebelum pembayaran kepada kontraktor diperakukan.
“Jangan tunggu kemalangan seterusnya baru tindakan diambil,” tegasnya.
Madius yang juga ADUN N.14 Tamparuli berkata keselamatan pengguna perlu menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan projek berkenaan kerana rakyat menggunakan jalan tersebut setiap hari untuk pelbagai urusan termasuk menghantar anak ke sekolah dan membawa hasil perusahaan.
“Matlamat pembangunan infrastruktur bukan hanya menyiapkan jalan raya semata-mata, tetapi memastikan rakyat dapat bergerak dengan selamat,” tambahnya lagi.
