LIMA USUL BELIA SABAH DIBAWA KE PERINGKAT NASIONAL – NIZAM

KOTA KINABALU: Lima usul yang dibentangkan dalam Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sabah akan dibawa ke peringkat nasional untuk dipertimbangkan dan diberi perhatian sewajarnya.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata usul berkenaan mencerminkan pandangan serta keperluan belia dari seluruh negeri, termasuk mereka yang tinggal di bandar, luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata, usul itu akan dikemukakan kepada pihak berkaitan, termasuk untuk perhatian Ketua Menteri Sabah dan Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negara.

Lima usul yang dibentangkan ialah:

Memperkukuh pendidikan, kesihatan, keselamatan diri dan pencegahan gangguan seksual dalam kalangan belia.

Membangunkan pusat hab keusahawanan digital dan agropreneur belia.

Menawarkan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bersesuaian dengan keperluan serta potensi setiap daerah.

Menyelaraskan semula kadar tambang pengangkutan udara bagi belia Sabah.

Memperluas bantuan yuran peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) kepada belia Sabah.

“Usul-usul ini dekat dengan kehidupan dan keperluan belia Sabah. Kita berharap setiap satu akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan, jika sesuai, dilaksanakan bagi memenuhi aspirasi golongan muda,” katanya.

Menurut Nizam, penyelarasan tambang penerbangan wajar diberi perhatian kerana belia Sabah perlu ke Semenanjung bagi menyertai program, urusan rasmi dan aktiviti lain, namun kos tambang yang tinggi boleh menjadi beban.

Beliau turut berkata, latihan TVET perlu disesuaikan dengan keperluan setempat supaya kemahiran yang diperoleh dapat meningkatkan nilai diri belia serta membuka peluang menjana pendapatan.

Nizam mengucapkan syabas dan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur, khususnya Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Majlis Belia Sabah serta Jabatan Belia dan Sukan Sabah atas usaha menjayakan persidangan itu.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles