KGKS zahir sokongan penuh kepada NUTP perjuangkan nasib GKMP sekolah Gred B hilang ETPS 

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menzahirkan sokongan terhadap gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar menyemak semula kelayakan Elaun Tugas Pentadbiran Sekolah (ETPS).

Presiden KGKS Murkam Hj Hussien berkata ini memastikan ETPS diberikan kepada semua Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) tanpa mengira gred sekolah bagi mengelakkan kesukaran melantik guru memegang jawatan tersebut di masa hadapan. 

Menurutnya KGKS senada dengan perjuangan NUTP berhubung nasib para GKMP yang kehilangan ETPS akibat penurunan gred 626 sekolah 626 ke gred B di seluruh negara.

Murkam berkata susulan penurunan gred tersebut, seramai 2,504 GKMP sekolah menengah tidak lagi layak menerima elaun tersebut, dan pembayaran dihentikan secara rasmi

“Dalam hal ini, KGKS menyokong rayuan NUPT. Jelas sekali tindakan memotong elaun ini tidak wajar kerana GKMP di sekolah Gred A mahupun Gred B memikul beban tugas, tanggungjawab, dan tekanan kerja yang sama ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Murkam berkata sebelum ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan penggredan semula sekolah menengah berkuat kuasa 11 Januari 2026 berdasarkan tiga kriteria: enrolmen murid (wajaran 80%), bilangan penghuni asrama (10%), dan peringkat pendidikan (10%).

Akibatnya, sebanyak 626 sekolah menengah telah diturunkan gred daripada Gred A kepada Gred B.

Selepas itu, NUTP dilaporkan telah menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyemak semula kelayakan ETPS agar ia diberikan kepada semua GKMP tanpa mengira gred sekolah bagi mengelakkan kesukaran melantik guru memegang jawatan tersebut di masa hadapan.

Difahamkan, KPM telah membawa usul dan surat rayuan kepada JPA pada 13 Ogos 2026 untuk mempertahankan elaun tersebut, namun JPA memaklumkan pada 23 September 2026 bahawa rayuan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan. 

Bagaimanapun, bagi 1,356 GKMP di sekolah yang berjaya naik ke Gred A, mereka akan menerima bayaran tunggakan ETPS pada tahun depan.

Sementara itu, Murkam berkata KGKS  meminta agar pihak JPA dan KPM tidak membuat pembayaran balik elaun mana-mana GKMP yang tidak layak mengikut tarikh ke belakang memandangkan tarikh berkuatkuasa pada bulan November ini.

“Ini (pembayara balik ke belakang) satu penganiayaan kepada guru guru tersebut, dan wajar diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles