KENYATAAN MEDIA DATUK MOHD AZIS BIN HJ JAMMAN, Naib Presiden Parti Warisan
KOTA KINABALU: Saya memandang serius pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Dewan Rakyat berhubung pembatalan projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak, termasuk projek yang telah menerima Surat Setuju Terima (SST).
Ini bukan lagi soal projek yang baru diumumkan atau masih dalam peringkat perancangan. Apabila SST sudah dikeluarkan tetapi projek masih boleh dibatalkan, timbul persoalan serius mengenai perancangan, pengurusan kewangan dan penyelarasan antara kementerian.
Bagaimana projek boleh sampai ke peringkat pengeluaran SST sekiranya peruntukan kewangan tidak mencukupi? Siapa yang meluluskan projek tersebut dan siapa pula yang membuat keputusan membatalkannya?
Kementerian Kewangan sebelum ini menjelaskan bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah membuat komitmen perbelanjaan melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar.
Jika benar demikian, bagaimana keadaan ini boleh berlaku tanpa dikesan dan ditangani lebih awal? Mengapa projek dibenarkan melalui proses kelulusan dan perolehan sehingga SST dikeluarkan sebelum masalah peruntukan dibangkitkan?
Saya mendesak kedua-dua kementerian memberikan penjelasan terbuka dan menyeluruh. Jangan sampai rakyat melihat keadaan ini sebagai kegagalan penyelarasan antara kementerian, sedangkan projek yang sepatutnya membawa pembangunan kepada mereka menjadi mangsa.
Pembatalan projek selepas SST dikeluarkan juga menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan tuntutan pampasan atau tanggungan kewangan tambahan. Adakah kerajaan telah menilai implikasi tersebut dan siapakah yang akan menanggung kosnya sekiranya tuntutan dibuat?
Kerajaan wajib mendedahkan jumlah sebenar projek yang terjejas, lokasi projek, nilai peruntukan yang terlibat serta sebab pembatalan setiap projek.
Kerajaan juga mesti menjelaskan sama ada projek berkenaan akan diteruskan, ditender semula atau dilaksanakan melalui kaedah lain berserta garis masa yang jelas.
Sabah masih berdepan dengan masalah infrastruktur asas yang serius, khususnya jalan raya luar bandar, bekalan air dan elektrik. Di banyak kawasan, rakyat masih menunggu kemudahan yang sepatutnya telah lama mereka nikmati.
Setiap projek yang dibatalkan bukan sekadar angka dalam laporan kerajaan. Ia mungkin bermakna sebuah kampung terus terputus hubungan akibat jalan yang rosak, anak-anak sekolah terus berdepan kesukaran untuk ke sekolah dan penduduk terus menanggung kos perjalanan yang tinggi.
Rakyat Sabah tidak sepatutnya menjadi mangsa kelemahan perancangan, pengurusan kewangan atau kegagalan penyelarasan antara kementerian.
Saya juga ingin mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa pembangunan mesti dilaksanakan berdasarkan keperluan rakyat, bukan kepentingan politik atau pertimbangan lain yang tidak berkaitan dengan kepentingan awam.
Pembangunan adalah hak rakyat, bukannya hadiah politik daripada mana-mana kerajaan.
Apa yang rakyat Sabah mahu bukan pertikaian antara kementerian atau alasan mengenai masalah peruntukan. Mereka mahu projek yang telah dijanjikan benar-benar dilaksanakan.
Kerajaan mesti bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat, terutama apabila keputusan tersebut menjejaskan kehidupan rakyat.
Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan, bukan alasan. Jangan umumkan pembangunan jika akhirnya rakyat hanya diberikan pembatalan!
