KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Mansiang, Menggatal dekat sini memohon agar projek menaik taraf sungai di kampung itu dimasukkan dalam perancangan jangka panjang agensi berkaitan susulan kejadian banjir yang melanda kawasan berkenaan buat kali keempat tahun ini.
Pengerusi Kelab Cakna Bersama Kota Kinabalu (KCBKK), Albert Jumitih, yang mewakili penduduk kampung, berkata banjir pada Ahad menyebabkan kerosakan harta benda dan kerugian, selain menjejaskan kehidupan harian serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atas kelulusan kerja pengorekan dan pembersihan sungai yang dilaksanakan setiap tahun.
Penghargaan turut diberikan kepada semua agensi dan pihak yang membantu penduduk menghadapi bencana berkenaan.
Albert juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Sepanggar merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud, atas keprihatinan terhadap kebajikan penduduk Kampung Mansiang serta kampung-kampung sekitar kawasan Parlimen Sepanggar yang terjejas akibat banjir.
“Kami amat menghargai perhatian dan usaha semua pihak serta memahami bahawa bencana boleh berlaku di luar jangkaan.
“Namun, kejadian banjir yang berulang menunjukkan keperluan untuk melengkapi kerja penyelenggaraan tahunan dengan perancangan jangka panjang yang lebih menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon agar cadangan menaik taraf Sungai Kampung Mansiang dipertimbangkan dalam perancangan projek dan peruntukan akan datang.
Menurutnya, kajian teknikal perlu dilaksanakan bagi menentukan pendekatan yang paling sesuai. Antara cadangan yang dikemukakan ialah menaik taraf sungai secara menyeluruh dengan membina tebing konkrit di lokasi dikenal pasti, selain melebarkan dan mendalamkan alur sungai bagi meningkatkan kapasiti aliran air.
Sebagai alternatif, kerja pelebaran dan pendalaman sungai boleh dilaksanakan secara berfasa, bermula di kawasan yang paling kerap dilanda banjir, berserta penambahbaikan sistem saliran sedia ada.
Semua cadangan itu tertakluk kepada penilaian teknikal JPS bagi memastikan langkah yang dilaksanakan sesuai untuk mengurangkan risiko banjir besar, selain tidak menjejaskan aliran air dan alam sekitar.
“Kami berharap satu pelan pelaksanaan secara berfasa dapat dirangka dengan memberikan keutamaan kepada kawasan yang kerap terjejas. Perkembangan perancangan ini juga diharap dapat dimaklumkan kepada penduduk.
“Permohonan ini disampaikan dengan penuh hormat dan semangat kerjasama. Besar harapan kami agar usaha sedia ada dapat diperkukuh melalui penyelesaian jangka panjang, khususnya pembinaan tebing konkrit di lokasi yang dikenal pasti, demi keselamatan penduduk, perlindungan harta benda dan kesejahteraan Kampung Mansiang,” katanya.
