GRS mesti dahulukan kepentingan Sabah, ketepikan ego politik

KUDAT: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan semua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), supaya mengutamakan kepentingan Sabah dan gabungan itu berbanding kepentingan parti atau individu bagi memastikan kekuatan politik negeri terus terpelihara.

Beliau berkata, kekuatan Sabah untuk mempunyai kuasa tawar-menawar lebih kukuh di peringkat Persekutuan mesti bermula dengan perpaduan dalam GRS sendiri, bukannya dibayangi pertelingkahan, perebutan kedudukan dan ego politik.

“Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain, kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah. Kekuatan Sabah sebenarnya bermula di sini, daripada kekuatan kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, GRS ditubuhkan pada 2020 berlandaskan aspirasi rakyat yang mahukan kekuatan politik tempatan untuk menentukan masa depan negeri sendiri, mempertahankan kepentingan rakyat dan memastikan pentadbiran Sabah kekal stabil.

Katanya, kejayaan GRS menjadi blok terbesar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, November tahun lalu, bukan hasil usaha satu parti atau pemimpin semata-mata, sebaliknya sumbangan bersama semua parti komponen, pimpinan dan ahli gabungan itu.

“Tidak ada parti yang begitu besar sehingga tidak lagi memerlukan rakannya. Dan tidak ada parti yang terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh kita abaikan. Masing-masing 8888 peranan,” katanya.

Beliau menegaskan kepentingan GRS mesti mengatasi kepentingan mana-mana parti komponennya, manakala kepentingan Sabah pula perlu sentiasa mengatasi kepentingan GRS, demi memastikan perjuangan gabungan itu kekal berpaksikan rakyat dan negeri.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada ahli akar umbi yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang sendiri ketika berkempen, termasuk menggunakan kenderaan sendiri serta meninggalkan keluarga demi perjuangan parti.

Katanya, mereka yang tidak dikenali ramai dan jarang mendapat perhatian media itu sebenarnya menjadi asas kekuatan GRS, justeru pengorbanan mereka tidak boleh dilupakan apabila kemenangan dicapai.

“Orang-orang inilah yang sebenarnya menjadi asas kekuatan GRS. Kita yang berada di atas pentas ini boleh berdiri di sini kerana ramai orang di bawah dan di luar sana yang membantu dan mengangkat kita sampai pada kedudukan ini. Makanya, jangan sekali-kali kita lupa pada mereka,” katanya.

Hajiji berkata, tindakan sesetengah pihak meninggalkan gabungan untuk membawa haluan sendiri perlu menjadi pengajaran supaya GRS terus memperkukuh perpaduan, lebih matang membuat keputusan dan mengetepikan ego politik.

Beliau berkata, kepelbagaian masyarakat Sabah serta perbezaan pilihan pengundi perlu difahami dan dihormati, dengan GRS perlu terus memperkukuh organisasi serta kerjasama antara parti komponen bagi mengekalkan keyakinan rakyat.

Katanya, rakyat tidak hidup dengan retorik semata-mata, sebaliknya mahukan kehidupan lebih baik, peluang pekerjaan, ekonomi kukuh dan kerajaan stabil yang mampu menyelesaikan masalah.

“Rakyat mahu sebuah Kerajaan yang stabil, yang bukan sekadar pandai bercakap, tetapi mampu menyelesaikan masalah. Kita boleh menang berucap ketika di atas pentas, tetapi kalah dalam menawan hati rakyat,” katanya.

Hajiji menegaskan bahawa status sebagai parti tempatan sahaja tidak mencukupi untuk mendapatkan kepercayaan rakyat kerana keyakinan itu perlu dibina melalui hasil pentadbiran dan pembangunan yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian.

Menjelang pilihan raya akan datang, beliau berkata, perbincangan mengenai calon dan pembahagian kerusi pasti menguji kesetiaan serta semangat setiakawan parti komponen, terutama apabila ada pihak perlu bertolak ansur dan menerima keputusan yang tidak memenuhi kehendak mereka.

Katanya, setiap pemimpin perlu membezakan antara mempertahankan prinsip dengan mempertahankan ego, selain tidak menjadikan kegagalan memperoleh kerusi sebagai alasan untuk merajuk, enggan bekerjasama atau menyerang rakan sendiri.

Hajiji turut berpesan kepada bakal calon GRS supaya tidak bersikap sombong selepas menang kerana setiap kemenangan turut bergantung kepada sokongan jentera pelbagai parti komponen, termasuk mereka yang tidak mendapat peluang bertanding.

“Tidak ada calon GRS yang menang seorang diri! Di belakang setiap kemenangan ada jentera daripada pelbagai parti. Ingatlah, politik sentiasa berubah. Hari ini kita mungkin kuat, esok belum tentu!” katanya.

Beliau berkata, hubungan dalam GRS mesti dibina berasaskan kepercayaan dan sikap saling menghormati, selain memberi ruang kepada generasi muda untuk memikul tanggungjawab serta menyumbang idea baharu, dengan pengalaman pemimpin lebih lama terus dihargai sebagai panduan kepada kesinambungan perjuangan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa jawatan tidak kekal selama-lamanya dan setiap pemimpin hanya memegang amanah untuk tempoh tertentu, justeru tidak seharusnya terlalu mempertahankan kedudukan sehingga melupakan tanggungjawab kepada rakyat.

“Sebab itu, jangan terlalu sayangkan kerusi sehingga kita lupa mengapa kita diberikan kerusi itu,” katanya yang menegaskan empat prinsip perjuangan GRS, iaitu Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper, perlu dibuktikan melalui komitmen, gerak kerja dan usaha menjaga rakyat, bukannya sekadar slogan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles