KOTA KINABALU: Pengerusi Biro Kesihatan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Dr Davina Datuk Markus, menyambut baik inisiatif kesihatan yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, khususnya tawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak dan usaha memperkukuh kemudahan kesihatan awam.
Beliau berkata, lebih 4,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun ini, manakala lebih 9,000 lagi dijangka menerima tawaran pada tahun hadapan.
“Bermula tahun depan, doktor yang menamatkan latihan siswazah juga akan terus ditawarkan jawatan tetap sebagai Pegawai Perubatan. Saya tumpang gembira kerana pernah melalui pengajian perubatan dan memahami perjalanan panjang serta mencabar untuk bergelar doktor.
“Selepas bertahun-tahun belajar, menjalani latihan siswazah dan berkhidmat, mereka wajar mendapat kepastian kerjaya untuk merancang masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr Davina, langkah mengekalkan lebih ramai doktor dalam perkhidmatan awam bukan sahaja memberi kelegaan kepada petugas kesihatan, malah berpotensi membantu mempercepat rawatan, mengurangkan kesesakan hospital dan menambah baik kemudahan wad.
Beliau turut menyambut baik kenaikan insentif bagi petugas Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100.
“Bagi Sabah, perkhidmatan kesihatan udara amat penting kerana masih ramai penduduk di kawasan pedalaman perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan. Sebarang usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan luar bandar amat dialu-alukan,” katanya.
Dr Davina berkata, bantuan saringan kesihatan awal juga penting untuk membantu golongan yang layak mengesan penyakit seperti diabetes dan darah tinggi sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Beliau menggalakkan orang ramai agar tidak menunggu sehingga jatuh sakit untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Dalam pada itu, beliau berkata pengumuman peluasan pelepasan cukai individu, termasuk bagi penjagaan selepas bersalin, pusat jagaan ibu bapa dan datuk nenek, pembelian kasut sukan serta perbelanjaan tertentu berkaitan vaksinasi dan haiwan peliharaan, turut memberi ruang kepada keluarga mengurus perbelanjaan mereka.
“Secara keseluruhan, saya menyambut baik perhatian yang diberikan kepada sektor kesihatan dalam Belanjawan 2027.
“Harapan saya, semua inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat, termasuk mereka yang tinggal jauh di pedalaman Sabah.
“Kepada doktor muda, tahniah atas berita baik ini. Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Dalam kesibukan menjaga kesihatan orang lain, jangan lupa menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya.
