KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyarankan supaya laporan kemajuan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dibentangkan secara berkala kepada Parlimen.
Katanya, ia perlu bagi membolehkan semua wakil rakyat dan rakyat Sabah amnya mengetahui kemajuan dan perkembangan sebenar projek berkenaan.
Berucap membahas Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau mahu supaya kerajaan mengambil tindakan susulan mengenainya.
“Kita perlu ada mekanisme pemantauan khas Pan Borneo Sabah yang lebih tersusun — dengan garis masa, sasaran setiap pakej, status pengambilan tanah, status pampasan, status variation order, status kontrak dan kemajuan fizikal,” katanya.
Matbali berkata Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan dengan jelas pelbagai kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah.
Katanya, projek itu dirancang sejak sekian lama dan pengurusannya bertukar silih berganti, sehinggalah kepada Kementerian Kerja Raya pada bulan September 2019.
Tetapi sehingga 31 Mac lalu, projek itu masih belum siap sepenuhnya.
“Maka persoalannya mudah — berapa lama lagi rakyat Sabah perlu menunggu? Berapa lama lagi rakyat Sabah perlu bersabar? Berapa lama lagi jalan yang dijanjikan akan menjadi jalan yang benar-benar boleh digunakan?,” katanya.
Menurutnya, projek Pan Borneo sangat penting bagi rakyat Sabah dari segi perhubungan mahupun pembangunan ekonomi.
Matbali berkata kawasan Sipitang antara yang terkesan dengan kelewatan pelaksanaan projek Pan Borneo, terutama jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort.
Katanya, jajaran berkenaan sehingga kini masih belum siap sepenuhnya sedangkan Sipitang merupakan pintu masuk ke Sabah, baik dari Sarawak, mahupun dari Negara Brunei Darussalam dan Kalimatan, Indonesia.
Matbali mengakhiri perbahasannya dengan mendeklamasi sebuah puisi berkaitan kelewatan projek itu dan kesannya kepada pemimpin.
Ungkapan puisi itu berbunyi:
Sudah lama saya berkata-kata
Berbuih mulut merayu dan meminta
Hampir lima tahun menunggu lama
Pan Borneo masih tidak menjadi nyata
Banyak jajaran belum sempurna
Kini pilihan raya sudah di ambang mata
Mohonlah para bintara yang bijaksana
Tuntaskan segera sebelum masanya tiba
Jangan rakyat terus merana
Memendam rasa kecewa
Kelak nantinya YB yang menjadi mangsa
