GRS sasar lebih 15 kerusi Parlimen pada PRU akan datang

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan untuk memenangi lebih 15 daripada keseluruhan 25 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memperkukuh suara negeri di peringkat Persekutuan.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, simulasi berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menunjukkan gabungan itu secara atas kertas berpotensi memenangi antara 14 hingga 15 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun katanya, GRS menyasarkan pencapaian lebih besar daripada angka berkenaan.

“Kalau kita lihat dari segi kiraan simulasi DUN yang lepas, GRS on paper boleh menang dalam 14 hingga 15 kerusi Parlimen. Tetapi kita mahu lebih daripada itu.

“Kita mahu suara Sabah melalui GRS mempunyai jumlah kerusi yang jauh lebih besar,” katanya selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di sini.

Armizan berkata, strategi gabungan itu termasuk mempertahankan sokongan sedia ada di kawasan yang mencatat prestasi kukuh pada PRN lalu serta memperluaskan sokongan ke kawasan Parlimen lain yang berpotensi dimenangi.

Menurutnya, pemilihan calon turut menjadi faktor penting selepas pengalaman PRN menunjukkan aspek calon boleh menang atau winnable candidate tidak boleh diketepikan.

Beliau berkata, GRS kini mempunyai tujuh Ahli Parlimen susulan penyertaan UPKO yang mempunyai dua wakil di Dewan Rakyat.

Katanya, kekuatan lebih besar di Parlimen penting bagi memastikan wakil Sabah mampu membawa suara negeri secara lebih tersusun dan berkesan.

“Kalau 25 kerusi Parlimen Sabah diisi oleh wakil yang berpecah dan tidak boleh membawa one voice, suara kita tidak akan sekuat dan sesolid yang kita mahukan,” katanya.

Sementara itu, Armizan mengumumkan Konvensyen GRS 2026 akan diadakan pada 18 Oktober ini di Dewan Tun Mustafa, Kudat dengan penyertaan kira-kira 2,500 peserta daripada enam parti komponen.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan Belanjawan Sabah 2027 dengan parti-parti komponen diberi ruang mengemukakan cadangan mengenai keutamaan pembangunan dan perbelanjaan negeri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles