Kenyataan Ahmad Farid Sainuri, Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak)
KOTA KINABALU: Saya merujuk kepada laporan media bertajuk “Kalau mahu pembayaran RM1.5 bilion interim diteruskan, kekalkan kerajaan Madani” yang telah dikeluarkan di beberapa portal berita tempatan sejak 27 September yang lepas.
Untuk pengetahuan umum, kenyataan YB Datuk Ts Mustapha Sakmud telah dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah hak perlembagaan Sabah dikaitkan dengan sokongan politik kepada Kerajaan MADANI.
Apa yang ingin ditegaskan oleh YB Menteri adalah kesungguhan pentadbiran Kerajaan MADANI memenuhi keperluan Sabah dengan meningkatkan pembayaran interim hingga mencecah jumlah yang tidak terjangkau selama ini. Di bawah pentadbiran YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, jumlah tersebut meningkat daripada RM300 juta pada 2023 kepada RM600 juta pada 2024 dan kini RM1.5 bilion setahun.
Peningkatan ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam mencari jalan penyelesaian terhadap perkara-perkara berkaitan hak serta kepentingan rakyat Sabah.
Penegasan terhadap rekod pentadbiran ini sama sekali tidak bermaksud hak Sabah diletakkan sebagai syarat kepada sokongan politik. Hak Sabah kekal sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk perkara berkaitan Pemberian Khas 40% Sabah.
Malah, Pemberian Khas Interim RM1.5 bilion bukan dan tidak pernah dianggap sebagai pengganti kepada penyelesaian tuntutan 40 peratus. Ia merupakan bayaran interim sementara proses menentukan nilai sebenar Pemberian Khas Sabah dimuktamadkan.
Justeru, persoalan mengenai formula, nilai sebenar dan mekanisme pelaksanaan bukanlah perkara yang diketepikan. Itulah perkara yang sedang menjadi salah satu proses pemuktamadan antara Kerajaan Sabah melalui Setiausaha Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan Sabah dan Kerajaan Persekutuan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Keutamaan YB Menteri kekal jelas: sebarang hal yang berkaitan dengan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 perlu diselesaikan secara berkesan mengikut lunas perlembagaan tanpa menjejaskan perpaduan Negara.
