Oleh: JT
PAPAR: Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Benoni dirasmikan pengoperasiannya hari ini, 24 September 2026 merupakan infrastruktur elektrik yang amat strategik bagi menampung dan menyokong pertumbuhan kawasan Benoni dan sekitarnya yang berkembang dengan amat pesat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, infrastruktur ini bukan hanya menjamin kestabilan bekalan elektrik pengguna domestik isi rumah, malah keperluan sektor komersial dan industri.
“Bagi mewakili warga Parlimen Papar, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) atas pelaksanaan Projek PPU Benoni yang telah dimulakan pada Ogos 2024 dan dirasmikan pengoperasiannya pada hari ini.
Saya juga memberi penghargaan kepada Pengarah Urusan WSG Group, Datuk Susan Wong Siew Guen yang telah menyumbang penyediaan tapak bangunan PPU Benoni ini” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan PPU Benoni, disini hari ini. Turut hadir Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC) merangkap ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra; Pengerusi SE, Datuk Saadiah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif SE, Ir Ts Mohd Yaakub Haji Jaafar.
Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, PPU Benoni 33/11kV merupakan aset infrastruktur elektrik yang berfungsi memperkukuhkan sistem pengagihan elektrik di daerah Papar.
“Projek ini memberikan manfaat strategik kepada keseluruhan sistem rangkaian elektrik di Papar. “Antaranya ia menyediakan kemudahan bekalan sandaran N-1 bagi Pencawang Masuk Utama (PMU) Papar dan PPU Kimanis, sekali gus meningkatkan daya tahan sistem semasa kerja penyelenggaraan atau gangguan tidak dirancang.
“Projek ini juga memperkukuhkan rangkaian pengagihan 33/11kV sedia ada bagi memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil serta mampu menampung pertumbuhan permintaan pada masa hadapan,” katanya.
Armizan berkata, selain PPU Benoni, bermula tahun 2023 hingga Ogos 2026, SE telah membina 16 Pencawang Elektrik (PE) baharu di Parlimen Papar.
“Ini melibatkan pembinaan 7 unit PE di Kg. Beringgis, Kg. Sekayan, Kg. Kawakahan, Kg. Sagang, Kg. Takis Tabasan, Kg. Sri Tanjung, Pengalat Kecil dan Kg. Benoni Darat. Manakala 8 unit dibina di Parklane City Benoni dan 1 unit di Taman Alamanda.
“Pembinaan kesemua PPU dan PE baharu ini merupakan sebahagian daripada ikhtiar penstabilan bekalan elektrik bagi kampung-kampung dalam Parlimen Papar,” katanya.
Katanya, antara isu yang dapat ditangani adalah isu gangguan dalam bentuk kesusutan voltan (voltage drop) yang telah berlarutan sekian lama di sebahagian lokaliti sehingga menyebabkan berlakunya kerosakan barangan elektrik isi rumah.
Armizan berkata, pembinaan pencawang pembahagian utama (PPU) dan pencawang elektrik (PE) merupakan antara projek penting dalam komponen Pembahagian (Distribution).
Katanya, selain komponen Pembahagian (Distribution), dua komponen lain yang menjadi teras kepada kestabilan bekalan elektrik adalah Penjanaan (Generation) dan Talian Penghantaran (Transmission).
“Dari aspek komponen Penjanaan (Generation), saya amat mengalu-alukan komitmen tinggi Kerajaan Negeri Sabah dalam menangani isu ketidakstabilan bekalan elektrik yang telah diwarisi sejak berpuluh tahun.
“Ini termasuklah pertanggungjawaban Kerajaan Negeri dalam mengambil alih kuasa kawal selia gas pada tahun 2023 serta kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu daripada Kerajaan Persekutuan bermula tahun 2024.
“Ini sejajar dengan keputusan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63),” katanya.
Armizan berkata, proses pengambilalihan ini dilaksanakan ketika saya diberikan amanah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) yang bertanggungjawab terhadap urus setia Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
Katanya, peralihan kuasa kawal selia daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) di bawah Kerajaan Persekutuan kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Sabah telah membolehkan hala tuju perancangan dan pelan tindakan berhubung elektrik, gas dan tenaga boleh baharu digubal dan dipantau oleh agensi negeri sekali gus memastikan proses pembuatan keputusan dan pelaksanaan lebih cepat, berfokus dan efisien.
Menurutnya, sebagaimana yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Sanah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Sabah pada 21 September 2026, jidar simpanan (reserve margin) penjanaan elektrik negeri telah meningkat daripada lapan peratus pada tahun 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos 2026 dan disasarkan mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini.
“Pada masa yang sama, tempoh purata gangguan bekalan elektrik tahunan yang diukur melalui Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) turut menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun.
“Pengukuhan ini adalah sejajar dengan penggubalan hala tuju yang komprehensif antaranya melalui Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah (PDP2026) yang bertujuan untuk memastikan perancangan kapasiti sentiasa dapat memenuhi keperluan permintaan tenaga.
“Pada masa yang sama, komitmen Kerajaan Persekutuan yang sehingga kini menyalurkan subsidi elektrik tahunan bagi Sabah adalah amat dihargai dan banyak membantu menanggung kos operasi pembekalan elektrik.
“Adalah diharapkan komitmen ini akan diteruskan sehingga proses transformasi penstabilan bekalan elektrik di Sabah dapat dicapai yang memerlukan tempoh kematangan,” katanya.
Armizan berkata, selain faktor kuasa kawal selia semasa, komitmen ini perlu mengambil kira dua faktor lain iaitu (i) tahap pencapaian dan isu legasi kestabilan elektrik yang diwarisi oleh Kerajaan Negeri serta (ii) peranan dan sumbangan besar Sabah dalam aspek pemuliharaan alam sekitar.
“Kedua-dua faktor ini perlu dipertimbangkan untuk memastikan subsidi elektrik terus diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai komitmen untuk mencapai transformasi pembekalan utiliti elektrik yang stabil dan mampan di Sabah sekali gus menangani isu legasi yang telah berlarutan sekian lama,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata kuasa kawal selia elektrik dan tenaga Sabah baru dipindahkan kepada negeri Sabah dua tahun lalu setelah berada di bawah Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1984 hingga tahun 2024.
“Ini termasuk syarikat penyedia perkhidmatan utiliti elektrik di Sabah yang sehingga kini masih diterajui oleh entiti persekutuan sejak 42 tahun lalu,” katanya.
Katanya, pertimbangan subsidi perlu mengambil kira tahap pencapaian dan isu legasi yang diwarisi oleh Kerajaan Negeri setelah sekian lama kuasa kawal selia dan pertanggungjawaban bekalan elektrik dan tenaga berada di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Kedua, pertimbangan juga perlu melihat faktor peranan dan sumbangan signifikan Sabah dalam aspek pemuliharaan alam sekitar,” Katanya.
Katanya, sehingga kini Sabah masih kekal dengan komitmen sifar penjanaan jana kuasa tenaga berasaskan arang batu, berbanding kebergantungan signifikan wilayah lain termasuk Semenanjung Malaysia kepada arang batu yang terkait dengan kesan pembebasan gas rumah hijau yang tinggi dan pencemaran alam sekitar.
Katanya, Sabah tidak memiliki stesen jana kuasa arang batu atas komitmen kepada perlindungan alam sekitar, namun di sudut yang lain negeri ini masih berhadapan dengan isu kestabilan dan kemampanan bekalan elektrik.
“Pada masa yang sama, Sabah menjadi antara penyumbang terbesar sebagai penampan karbon melalui pengekalan litupan hutan yang merangkumi kira-kira 63 peratus daripada keluasan negeri. Komitmen ini adalah sejajar dengan agenda pengekalan 50 peratus litupan hutan negara sebagaimana yang dipersetujui di peringkat antarabangsa menerusi Sidang Kemuncak Bumi Rio de Janeiro 1992,” katanya.
