KOTA KINABALU: IKSNita Sabah terus memperkukuh usaha memperkasakan generasi muda dan komuniti perniagaan kecil menerusi penganjuran Program Perantis Go Digital 2026 bersempena sambutan Hari Malaysia.
Program itu tampil unik menerusi penganjuran Keretapi Bersarong, yang menyaksikan peserta daripada pelbagai latar belakang mengenakan pakaian tradisional sarong sambil menyertai perjalanan menaiki Keretapi Negeri Sabah dari Stesen Tanjung Aru ke Stesen Beaufort.
Presiden IKSNita Sabah, Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata, acara berkenaan membawa mesej perpaduan, kelestarian budaya dan pemerkasaan teknologi dalam kalangan masyarakat.
Katanya, penggabungan elemen budaya dan teknologi merupakan pendekatan penting dalam usaha membina generasi muda yang lebih bersedia menghadapi perkembangan dunia digital.
“Penganjuran Keretapi Bersarong bukan sahaja menjadi platform meraikan semangat Hari Malaysia, malah menggabungkan elemen warisan dan inovasi dalam satu program yang bersifat pendidikan serta pembangunan kapasiti.
“Pendekatan berkenaan dilihat selari dengan aspirasi memperluas literasi digital dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda dan pengusaha perusahaan kecil, supaya mereka dapat memanfaatkan perkembangan teknologi secara lebih berkesan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, program berkenaan turut menampilkan tokoh teknologi kecerdasan buatan (AI) Sabah, Mahadthir Asbollah, sebagai mentor utama bagi membimbing peserta memahami penggunaan AI secara praktikal.
“Bimbingan tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai potensi teknologi digital dan AI untuk dimanfaatkan dalam kehidupan seharian serta membantu meningkatkan keupayaan dalam dunia perniagaan,” katanya.
Menurutnya, program Perantis Go Digital 2026 turut mengetengahkan mesej bahawa pemeliharaan budaya dan kemajuan teknologi boleh bergerak seiring dalam membentuk masyarakat yang progresif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran era digital.
