Audit 17 syarikat ayam Thailand pastikan halal, selamat

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah sedang melaksanakan audit terhadap 17 syarikat dan kilang ternakan ayam di Thailand bagi memastikan pematuhan terhadap pensijilan halal, keterjaminan makanan yang bersih dan selamat serta semua prosedur ditetapkan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, beliau berkesempatan mengikuti proses audit yang dilaksanakan DVS di Syarikat Betagro, Thailand, kelmarin.

“Proses audit ini penting bagi memastikan syarikat dan kilang yang membekalkan produk ayam ke Sabah mematuhi keperluan ditetapkan, termasuk aspek pensijilan halal serta keterjaminan makanan yang bersih dan selamat,” katanya.

Menurutnya, Syarikat Betagro mempunyai kapasiti melakukan sembelihan secara halal sehingga 600,000 ekor ayam sehari, dengan operasi kilang selama 16 jam.

Jamawi berkata, berdasarkan statistik 2025, Sabah mengimport ayam keratan seperti sayap, paha dan dada sebanyak lebih 45 juta kilogram, dengan nilai pasaran kira-kira RM450 juta.

“Bagi enam bulan pertama tahun ini pula, purata 200 kontena ayam keratan sejuk beku diimport dari Thailand setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata, angka itu menunjukkan potensi besar untuk industri ternakan ayam diperbesarkan di Sabah, termasuk melalui pembukaan kawasan baharu bagi penanaman jagung bijirin.

Katanya, langkah itu penting bagi membantu mengurangkan kos makanan ternakan ayam pada masa akan datang.

“Saya yakin potensi lebih besar untuk ternakan ayam di Sabah diperbesarkan dengan membuka kawasan-kawasan baharu bagi penanaman jagung bijirin untuk mengurangkan kos makanan ternakan ayam kelak.

“Satu gerak kerja yang bukan mudah, tetapi insya-Allah boleh dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Tetap III, Shariffah Aznoor Jap; Pengarah DVS, Dr. Zul Bahar Hj Abdul Rashid bersama pegawai serta Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Dato Shawn Davey. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles