ITCC Penampang adakan pembukaan rasmi dewan perkahwinan, The Wedding Hall

Oleh: JT

KOTA KINABALU: International Technology & Commercial Centre (ITCC) Penampang terus berusaha menambah baik kemudahannya, dan kali ini, mengadakan pembukaan rasmi dewan perkahwinan ‘The Wedding Hall”.

Gundohing Benjamin Malakun, Pengurus Besar ITCC Penampang, berkata pihak pengurusan menyambut baik permintaan yang semakin meningkat bagi penyediaan dewan perkahwinan yang selesa.

“Malah, idea untuk mewujudkan Dewan Perkahwinan ini bermula apabila JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) Penampang menulis surat kepada kami bagi memohon sokongan untuk menambah baik kemudahan upacara perkahwinan mereka yang sedia ada.

“Setelah meneliti ruang yang ada, kami mendapati kawasan sedia ada di dalam pejabat JPN adalah terhad dan mungkin tidak dapat menampung pasangan pengantin bersama keluarga serta tetamu jemputan dengan selesa,” katanya.

Benjamin berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya sempena majlis pembukaan  rasmi Dewan Perkahwinan di ITCC Penampang hari ini.

Beliau berkata, daripada sekadar mengubah suai ruang sedia ada yang lebih kecil, pihak pengurusan memutuskan untuk mewujudkan sebuah dewan perkahwinan khusus di ITCC.

“Ia merupakan satu ruang yang lebih luas, selesa dan mempunyai suasana yang penuh bermaruah, di mana pasangan boleh melangsungkan perkahwinan serta meraikan peristiwa penting ini bersama insan tersayang,” katanya.

Benjamin menyatakan bahawa Dewan Perkahwinan ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa visi, dedikasi dan kepimpinan Datuk Seri Panglima Clarence Malakun.

“Daripada idea awal sehinggalah ke peringkat perancangan, pembinaan dan penyiapan, Datuk Seri terus terlibat secara peribadi dan komited untuk merealisasikan visi ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan tulus ikhlas kepada Datuk Seri Panglima Clarence Malakun atas bimbingan, kecekalan dan kepimpinan beliau dalam menjayakan pembukaan The Wedding Hall di ITCC.

“Saya juga ingin menyampaikan penghargaan istimewa kepada Encik Thien Chen Wei, kontraktor pengubahsuaian kami, serta seluruh pasukannya,” katanya.

Benjamin berkata, mereka bekerja dengan tekun dan cekap bagi menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian itu dalam tempoh masa yang singkat.

“Kami amat menghargai mutu kerja yang baik, kerjasama serta komitmen mereka dalam memastikan The Wedding Hall siap tepat pada masanya untuk majlis pembukaan awal hari ini,” tambah beliau.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan pengurusan Pusat Beli-belah ITCC, jawatankuasa penganjur, para pembekal dan kakitangan yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan bagi dewan tersebut serta majlis pada hari ini.

“Pembukaan awal hari ini hanyalah satu permulaan. Kami akan terus mendengar maklum balas serta menambah baik kemudahan dan perkhidmatan kami supaya setiap pasangan yang memilih lokasi ini akan menikmati pengalaman yang indah dan bermakna,” katanya.

Para hadirin yang ditemui rata-rata menyambut baik dewan perkahwinan berkenaan.

“Dewan perkahwinan ini bukan sekadar menyediakan ruang yang selesa malah memberikan pasangan pengantin satu penorama yang mempersonakan,” kata Datuk Susan Wong, Pengarah Urusan Kumpulan WSG.

Katanya, pengujudan dewan perkahwinan ini bertepatan kepada semua pasangan mengikut tadisi masing-masing.

“Selepas selesai majlis pendaftaran perkahwinan, keluarga pasangan boleh meluangkan masa menikmati suasana di kompleks beli belah di sini (ITCC),” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datuk Seri Panglima Clarence Malakun, J.P., Pengerusi Eksekutif ITCC-Penampang; Datin Seri Panglima Sylvia Malakun, Pengarah Urusan ITCC-Penampang; Datin Seri Panglima Celestina Jinu; Datuk Susan Wong, Pengarah Urusan Kumpulan WSG; Datuk Joanna Kitingan; Datin Kimmy Tan Malakun; Puan Aidah Wong; Puan Christine Pamela Eyong, Ketua Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Penampang; Encik Alexander Hugo Malakun, J.P., Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The MAJULAN Hotel; dan Puan Alice Chew Malakun, Timbalan CEO The MAJULAN Hotel.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles