TAMBUNAN: Semua pengusaha di daerah ini khususnya yang terbabit dalam sektor pelancongan dan pertanian berasaskan komuniti disaran menubuhkan koperasi bagi memperkukuh modal, memperluas pasaran serta meningkatkan manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.
Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera, Dato’ Victor P. Paut, berkata pendekatan berkoperasi mampu menggabungkan kekuatan pengusaha kecil dan komuniti supaya mereka mempunyai kedudukan lebih kukuh untuk mengembangkan aktiviti ekonomi masing-masing.
Menurutnya, koperasi bukan saja menjadi platform menghimpunkan modal ahli, malah membuka peluang kepada pengusaha untuk mendapatkan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan kerajaan yang disediakan bagi memperkasakan gerakan koperasi.
“Saya menasihatkan kepada semua pengusaha terutamanya yang terlibat dalam sektor pelancongan dan pertanian secara komuniti di daerah Tambunan ini agar menubuhkan koperasi sebab dengan adanya inisiatif ini, modal mereka akan bertambah dan manfaat kepada penduduk sekitarnya juga besar.
“Malah, mereka dapat meningkatkan lagi sifat kerjasama antara satu sama lain untuk membangunkan ekonomi setempat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Kemerdekaan Tahun 2026 Peringkat Taman Marawagas Mukim Monsog, di sini petang tadi.
Victor yang juga Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan berkata, kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan koperasi sebagai salah satu mekanisme untuk memperkukuh ekonomi masyarakat, khususnya usahawan kecil dan komuniti luar bandar.
Katanya, antara kelebihan berkoperasi ialah anggota boleh menggembleng modal secara bersama selain berpeluang mendapatkan bimbingan, latihan, khidmat nasihat serta kemudahan pembiayaan atau bantuan pembangunan yang disediakan agensi berkaitan mengikut bidang dan kelayakan koperasi.
“Kalau bergerak secara individu, kemampuan setiap pengusaha mungkin terhad, tetapi apabila mereka bergabung dalam koperasi, kekuatan modal, tenaga, kepakaran dan jaringan pasaran boleh dipertingkatkan.
“Pada masa sama, koperasi yang aktif dan mempunyai pengurusan baik lebih mudah merancang projek secara bersama serta memanfaatkan peluang bantuan kerajaan yang disediakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Victor berkata, koperasi dapat membantu meningkatkan kemahiran anggota menerusi program latihan, pembangunan keusahawanan dan pengurusan perniagaan yang dilaksanakan agensi kerajaan serta badan berkaitan.
Menurutnya, aspek tadbir urus dan pengurusan kewangan perlu diberi keutamaan supaya koperasi yang ditubuhkan benar-benar mampu bertahan dan berkembang dalam jangka panjang.
“Kita mahu koperasi yang ditubuhkan bukan sekadar atas nama, tetapi benar-benar aktif, mempunyai perancangan perniagaan dan memberi pulangan kepada anggota serta masyarakat.
Dengan pengurusan yang baik, bantuan dan peluang yang disediakan kerajaan boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan perniagaan koperasi,” katanya.
Beliau berkata, Tambunan mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan pelancongan berasaskan komuniti yang boleh terus diterokai dengan penglibatan masyarakat secara lebih tersusun.
Katanya, kerjasama menerusi koperasi juga mampu mewujudkan ekosistem ekonomi setempat yang saling melengkapi, sekaligus memastikan lebih banyak nilai ekonomi kekal dan berputar dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Yang penting ialah semangat kerjasama. Kita mahu pengusaha dan masyarakat melihat pembangunan ekonomi ini sebagai usaha bersama. Kalau kita bersatu melalui koperasi, lebih banyak perkara boleh dibuat dan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh lebih ramai penduduk,” katanya.