SANDAKAN : Identiti unik Kampung Sim-Sim, Sandakan wajar terus dikekalkan dan dimajukan dengan mengekalkan sejarahnya yang menjadi sebahagian daripada warisan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata, pembangunan komuniti bukan sekadar melibatkan aspek fizikal, tetapi turut perlu memastikan nilai sejarah, budaya dan semangat kebersamaan penduduk terus dipelihara.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Komuniti Madani serta Pertandingan Pondok Ceria Kampung Sim-Sim 2026, bertemakan “Sabah Tanah Airku, Malaysia di Hatiku” di Balai Raya kampung itu di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Persatuan Cahaya Hijau Sabah, Benita Wong, Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Sandakan, Abdul Aziz Abdul Karim, Pegawai Pembangunan Masyarakat Tanjong Papat, Evey Baizurah, wakil Presiden Majlis Perbandaran Sandakan dan yang lain.
Menurut beliau, pertandingan berkenaan bukan sekadar menceriakan kawasan kampung, malah menjadi platform untuk menyemarakkan semangat patriotik, kreativiti, kebersihan dan kerjasama dalam kalangan penduduk.
Katanya, penglibatan penduduk dalam aktiviti komuniti seperti pertandingan pondok ceria membuktikan bahawa kemajuan dan pemeliharaan identiti kampung boleh bergerak seiring.
Pertandingan itu turut dilihat sebagai usaha menggalakkan penduduk menceriakan persekitaran kampung sambil memperkukuh semangat gotong-royong, perpaduan dan rasa bangga terhadap identiti Kampung Sim-Sim.
Dalam perkembangan lain, ujarnya, perbezaan politik juga seharusnya lebih matang dengan bersama-sama memberikan perkhidmatan terbaik demi kepentingan serta kesejahteraan penduduk.
Sementara itu, Vivian memaklumkan, sebuah pusat khidmat di Lorong E di Rancangan Rumah Murah Kampung Sim-Sim kini tersedia bagi membolehkan penduduk menyampaikan masalah serta mendapatkan bantuan berkaitan isu komuniti setempat.
Keputusan bagi pertandingan pondok ceria menyaksikan Jambatan 14 dan 23 muncul juara bersama bagi Kategori A selain turut memenangi kategori pondok eco-friendly.
Di tempat ketiga, keempat dan kelima dimenangi oleh Jambatan 11, 8 dan Jambatan 2.
Manakala Lorong C menjuarai Kategori B dan kategori pondok eco-friendly.
Sementara Lorong H berada di tempat kedua, Lorong E (ketiga), keempat (Yi Villa) dan kelima, Lorong D.
Program Komuniti Jiwa Madani berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Parlimen Sandakan, Jabatan Penerangan Sandakan, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Papat, Persatuan Persatuan Cahaya Hijau Sabah dan yang terlibat.
