Sabah perlu contohi Thailand perkasa kebun dapur, durian premium

RANAU:  Sabah perlu mencontohi kejayaan Thailand dalam mengembangkan konsep kebun dapur dan penanaman durian premium bagi meningkatkan pendapatan petani serta memperkukuh keterjaminan makanan negeri.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendekatan itu boleh dimulakan secara kecil-kecilan di sekeliling rumah sebelum dikembangkan kepada pengeluaran berskala lebih besar dan disokong dengan pusat pengumpulan hasil.

Beliau berkata, Thailand berjaya mengembangkan konsep kebun dapur termasuk menanam durian di sekitar rumah dan menyediakan pusat pengumpulan hasil di setiap kampung.

“Di Thailand, kalau kita lihat, mereka sudah ada konsep kebun dapur. Saya sudah berkursus di sana lebih kurang dua hingga tiga kali dan di sekeliling rumah ditanam durian Monthong.

“Durian Monthong selepas empat tahun sudah boleh mengeluarkan hasil, dengan hasil satu pokok lebih kurang dua hingga tiga kilogram. Walaupun harganya sekitar RM20 sekilogram, tiga kilogram sudah boleh menghasilkan kira-kira RM60,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penanaman Durian – Teknik Thailand di Dewan Masyarakat Ranau, di sini, hari ini.

Jamawi turut memberikan penghargaan kepada kedua -dua penceramah yang hadir iaitu pempengaruh terkenal yang juga juri pertandingan durian, Che Mie @ Roshelmy Ramli dan Sifu Ahmad Somad (Pak Somad) pakar durian Selatan Thailand. 

Jamawi berkata, Pak Somad yang turut berkongsi ilmu pada seminar itu, mampu memperoleh kira-kira RM100,000 dalam satu musim daripada kebun seluas lapan ekar.

Katanya, kejayaan itu antara sebab pihaknya menjemput Pak Somad untuk berkongsi teknologi dan pengalaman dengan pengusaha durian di Sabah.

Menurutnya, Sabah juga mempunyai potensi besar dalam tanaman durian, namun lambakan durian kampung pada musim tertentu menyebabkan harga jatuh sehingga RM5, RM3 malah RM2 sebiji, khususnya apabila hasil banyak dijual di tepi jalan dan pasar tamu.

Sehubungan itu, katanya, teknologi cantuman dewasa perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan nilai durian kampung dengan menukarkannya kepada varieti premium seperti Musang King, Black Thorn dan Tupai King.

“Durian kampung ini kita jadikan sebagai durian premium. Lima tahun akan datang, daripada durian kampung, ia boleh jadi durian Musang King, Black Thorn atau Tupai King, walaupun pokoknya sudah besar.

“Ada teknologi untuk kita cantumkan durian kampung menjadi durian premium,” katanya.

Jamawi berkata, petani tidak perlu menunggu kewujudan pusat pengumpulan sebelum memulakan tanaman kerana Kerajaan terlebih dahulu mahu memastikan jumlah pengeluaran mencukupi.

Katanya, apabila pengeluaran mencapai jumlah yang sesuai, pusat pengumpulan boleh diwujudkan di setiap DUN atau Parlimen bagi membantu petani memasarkan hasil secara lebih sistematik.

Beliau turut memberitahu, Kerajaan Negeri turut mewujudkan SAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah) tahun ini sebagai usaha membantu memasarkan hasil pertanian penduduk kampung, selain mekanisme pemasaran sedia ada.

“Saya minta masyarakat kita di luar bandar mengusahakan dahulu secara kecil-kecilan di keliling rumah. Kalau mahu tanam lima pokok Musang King, dua pokok Black Thorn dan sebagainya, tanam dulu.

“Kemudian saya minta pegawai-pegawai pertanian membuat statistik di pusat pengumpulan setiap DUN atau Parlimen mengenai jumlah pokok yang ada. Kita akan tahu lima tahun akan datang, Parlimen Ranau ada berapa Musang King, Black Thorn, IOI dan sebagainya.

“Dengan itu kita dapat memasarkan hasil secara lebih sistematik,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi berkata, kira-kira 3,000 pengusaha kebun dapur di sekeliling rumah kini direkodkan pegawai pertanian di setiap daerah di Sabah.

Katanya, sasaran beliau adalah meningkatkan jumlah itu kepada 5,000 pengusaha dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, usaha berkenaan turut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bercucuk tanam bagi menjamin bekalan makanan keluarga, selain menghasilkan lebihan untuk dijual atau dikongsi dengan jiran.

Jamawi berkata, konsep kebun dapur turut akan diperluaskan ke kawasan bandar bagi membolehkan penduduk yang tinggal di kondominium dan apartmen menikmati kemudahan untuk bercucuk tanam.

Katanya, beliau baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu bagi mendapatkan beberapa kawasan lapang yang boleh dibangunkan sebagai kebun dapur komuniti.

“Kalau ada, kita akan buka kepada rakyat di kawasan itu yang mahu mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan, sama ada komuniti lima, 10 atau 20 orang. Kita sediakan tempat,” katanya.

Jamawi berkata, seminar berkenaan turut menjadi platform untuk berkongsi ilmu mengenai teknik penanaman, pembajaan dan teknologi durian Thailand yang mampu membantu petani meningkatkan hasil.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Haji Zul dan Datuk Japiril, Pengerusi Persatuan Penanam Durian Ranau atas penganjuran program itu.

Katanya, beliau lebih gemar turun padang bertemu petani bukan sekadar untuk menyampaikan ucapan perasmian, tetapi berkongsi ilmu praktikal mengenai kaedah pembajaan yang baik bagi membantu menghasilkan pulangan lebih lumayan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles