Jangan aibkan institusi TYT atas nama kebebasan bersuara – Aktivist Zaki Susanto

TAWAU : Institusi Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah dan Istana Seri Kinabalu perlu dihormati sebagai antara tonggak penting dalam struktur kenegaraan serta kestabilan negeri, kata aktivis masyarakat Sabah, Mohd. Zaki Harry Susanto.

Beliau berkata, perbezaan pandangan dalam sebuah negara demokrasi adalah perkara biasa namun kebebasan bersuara tidak seharusnya diterjemahkan kepada tindakan mencerca, menghina atau mengaibkan kedudukan TYT, Raja-Raja Melayu mahupun institusi beraja.

Menurutnya, budaya mencaci dan merendahkan institusi Raja-Raja serta Yang di-Pertua Negeri bukan budaya rakyat Malaysia kerana ia bertentangan dengan nilai kesantunan Timur selain boleh menggugat keharmonian dan kestabilan masyarakat.

“Demokrasi memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara, mengkritik dasar kerajaan dan membahaskan sesuatu isu tetapi kebebasan itu perlu datang bersama adab, tanggungjawab dan rasa hormat terhadap institusi yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Jangan sampai kebebasan bersuara disalahgunakan sehingga kedudukan TYT diaibkan atau institusi Istana Negeri Sabah dipersendakan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada komentar daripada beberapa netizen yang cuba mengaibkan TYT Sabah di media sosial.

Mohd. Zaki yang juga bekas pegawai kanan Polis berkata, rakyat juga perlu memahami bahawa TYT bukan sekadar lambang upacara atau simbolik sebaliknya merupakan Ketua Negeri Sabah yang mempunyai kedudukan serta fungsi tertentu di bawah Perlembagaan Negeri Sabah.

Portal rasmi Kerajaan Sabah menyatakan TYT merupakan Ketua Negeri Sabah dan dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat Ketua Menteri, manakala Perlembagaan Negeri menetapkan tempoh pelantikan selama empat tahun.

“Apabila seseorang dilantik ke jawatan TYT melalui proses yang diperuntukkan Perlembagaan, kedudukan itu mesti dihormati.

“Justeru, mempertikaikan atau menghina institusi TYT seolah-olah mempertikaikan struktur perlembagaan negeri yang menjadi asas kepada pemerintahan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, institusi Yang di-Pertua Negeri juga mempunyai peranan sebagai simbol kedaulatan, perpaduan dan kesinambungan negeri khususnya dalam sebuah masyarakat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar budaya.

Menurutnya, institusi kenegaraan seperti Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan TYT negeri-negeri bukan sekadar mempunyai nilai sejarah malah berfungsi sebagai unsur penyatu masyarakat dalam sistem demokrasi berperlembagaan.

“Institusi ini boleh dianggap sebagai payung kedudukan rakyat kerana ia berkait rapat dengan kesinambungan hak, kepentingan agama Islam serta adat istiadat yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan identiti negara.

“Dalam konteks Sabah, TYT pula menjadi lambang ketua utama negeri dan simbol kedaulatan negeri yang kedudukannya diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri Sabah,” katanya.

Mohd. Zaki turut mengingatkan bahawa seseorang yang pernah memegang jawatan politik atau pentadbiran sebelum dilantik sebagai TYT perlu dilihat berdasarkan kedudukan rasminya selepas pelantikan, bukannya terus diseret ke dalam polemik politik kepartian.

Katanya, selepas seseorang meninggalkan arena politik dan menerima amanah sebagai TYT, masyarakat perlu menghormati institusi berkenaan serta membezakan antara kritikan terhadap rekod masa lalu dengan penghinaan terhadap kedudukan Ketua Negeri.

“Kalau ada perbezaan pandangan mengenai dasar atau keputusan kerajaan, salurkan melalui saluran demokrasi dan undang-undang.

“Jangan gunakan media sosial sebagai medan untuk menghina atau mengaibkan TYT yang sudah berada di luar gelanggang politik kepartian,” katanya.

Beliau berkata, sikap tidak sopan terhadap institusi kenegaraan bukan sahaja boleh menjejaskan keharmonian sosial dalam negara, malah berpotensi memberi gambaran kurang baik terhadap negeri dan negara di mata dunia.

“Sabah dikenali sebagai sebuah negeri yang mempunyai masyarakat majmuk tetapi mampu mengekalkan kestabilan melalui sistem demokrasi berperlembagaan.

“Jangan kita rosakkan nilai itu hanya kerana perbezaan politik atau emosi sesaat di media sosial,” katanya.

Mohd. Zaki turut menyeru rakyat Sabah supaya mempertahankan institusi Istana Seri Kinabalu dan TYT kerana penghormatan terhadap institusi tersebut sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama.

“Kita boleh berbeza parti, berbeza pandangan dan berbeza pendirian politik tetapi jangan berbeza dalam soal menghormati Perlembagaan dan institusi negeri.

“Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang menjadi prinsip dalam Rukun Negara bukan sekadar untuk disebut dalam perhimpunan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan tutur kata yang beradab,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat juga perlu mengelakkan budaya menghukum atau membuat tuduhan terhadap institusi kenegaraan hanya berdasarkan hantaran media sosial yang belum tentu lengkap konteksnya.

“Semak fakta, fahami Perlembagaan dan gunakan saluran yang betul sebelum membuat kenyataan. Kritik boleh, tetapi menghina dan mencaci bukan budaya kita.

“Institusi TYT adalah institusi negeri. Menjaganya bukan bermakna kita menolak demokrasi sebaliknya kita sedang mempertahankan demokrasi berperlembagaan yang kita warisi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kematangan sesebuah demokrasi bukan diukur berdasarkan sejauh mana rakyat bebas menghina, tetapi berdasarkan kemampuan masyarakat menggunakan kebebasan secara bertanggungjawab tanpa meruntuhkan institusi yang menjadi asas kestabilan negara.

“Pertahankan Istana Negeri Sabah, hormati TYT dan peliharalah adab sebagai anak Sabah dan rakyat Malaysia,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles