TAMBUNAN : Peluncuran program Kursus Intensif Pertanian Pintar berskala besar di daerah ini mampu menjana pendapatan penduduk setempat malah ianya juga boleh membantu menampung kos sara hidup yang semakin meningkat masa kini.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera, Dato’ Victor Peter Paut berkata, kursus siri 1 bakal dilaksanakan pada 12 September depan dengan penyertaan di buka kepada 500 orang peserta secara percuma.
Menurutnya, rakyat tidak seharusnya mengeluarkan belanja bagi menyertai sebarang kursus yang bertujuan membantu mereka menjana pendapatan atau menaiktaraf kehidupan keluarga.
“Tidak ada yuran penyertaan dikenakan kerana kursus ini adalah untuk rakyat dan ianya merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi melestarikan pertanian di kawasan tanah subur seperti Tambunan ini.
Kita juga menyediakan kursus penanaman Sawit, Lada Hitam, Nenas dan Durian yang akan dikendalikan oleh pakar-pakar pertanian, “jelas Victor, yang juga merupakan Ketua Bahagian PGRS Tambunan.
Berkait soal pendaftaran peserta, Victor menggesa orang ramai khususnya warga Tambunan merebut peluang keemasan ini dengan mendaftar melalui ‘Online Form’ yang telah disediakan lewat promosi di media sosial.
” Sambutan cukup menggalakkan setakat ini dan kekosongan semakin sedikit kerana kita cuma menghadkan penyertaan seramai 500 orang sahaja, “katanya.
Persatuan atau individu yang berminat menyertai kursus percuma ini boleh mengisi borang penyertaan yang turut dikongsikan di beberapa platform media sosial atau datang sendiri ke Pejabat PGRS Tambunan bagi tujuan pendaftaran.
Kursus Intensif Pertanian Pintar Tambunan Siri I dianjurkan oleh Kumpulan Sawit Kinabalu dengan kerjasama Lembaga Lada Malaysia dan dilaksanakan sepenuhnya oleh sebuah jawatankuasa induk yang dianggotai terdiri dari kalangan pengamal pertanian serta professional.
