BEAUFORT: Pergerakan Wanita Umno bahagian Beaufort akan terus mendekati golongan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya golongan kurang berkemampuan.
Ketuanya Datuk Hajah Siti Aminah Aching berkata walaupun berhadapan dengan cabaran PKP dan keadaan cuaca yang tidak menentu serta banjir, namun pergerakan itu akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menyantuni rakyat yang terkesan dengan PKP supaya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“ Kita memahami keadaan ketika ini dalam situasi PKP berjalan ditambah lagi keadaan cuaca yang tidak menantu semua pihak terkesan khususnya golongan yang kurang berkemampuan, sakit atau ditimpa musibah, justeru pergerakan Wanita Umno bahagian ini akan terus mendekati golongan tersebut untuk menyampaikan sedikit bantuan bagi meringankan beban yang mereka tanggung” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri beberapa progam ziarah di kawasan Parlimen Beaufort yang melibatkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Klias dan Kuala Penyu baru baru ini.
Menurut Siti Aminah, Umno khususnya Pergerakan Wanita ,cakna dengan masalah yang dihadapi oleh golongan ini dan bertekad untuk terus mendekati dan melaksanakan tanggungjawab sosial parti kepada masyarakat.
“ Kita tidak mahu timbul presepsi parti (UMNO) khususnya pergerakan Wainta hanya bergerak secara bermusim terutama ketika pilihanraya atau semasa pemilihan parti, kita mahu parti sentiasa di hadapan mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan golongan ini sekali gus mendekatkan parti dengan mereka,” jelas Aminah.
Aminah yang juga Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat meminta semua ketua cawangan Wanita Umno di bahagian itu agar sentiasa cakna terhadap sebarang isu atau masalah yang dihadapi di setiap komuniti masing-masing.
Ini menurut beliau penting agar golongan yang berhadapan dengan masalah yang kritikal tidak terbiar dan bantuan segara dapat disampaikan.
“Kita berharap semua pemimpin akar umbi khususnya Wanita Umno sentiasa memantau keadaan ini dan menyalurkan segara maklumat kepada pejabat Pergerakan Wanita agar langkah susulan dapat diambil tindakan segara” tambah Siti Aminah.