Sapawi ajak masyarakat Islam bersama bina generasi celik AI

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Hj Sapawi Hj Ahmad mengajak seluruh masyarakat, khususnya umat Islam supaya bersama membina generasi yang celik ilmu, celik teknologi, celik geopolitik serta berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam.

Beliau berkata dunia hari ini sedang berdepan pelbagai cabaran seperti geopolitik, krisis ekonomi, revolusi teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang memberi kesan sehingga ke Sabah.

Oleh itu, katanya masyarakat tidak boleh sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya perlu memahami perubahan dunia dan bersedia menghadapinya dengan ilmu serta kebijaksanaan.

“Ilmu, perpaduan dan pemikiran strategik merupakan asas utama membina masyarakat yang berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Sapawi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Perasmian Program Wacana Pemikir peringkat negeri Sabah di Wisma Muis, dekat sini hari ini.

Maljs perasmian program ini disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sapawi berkata sejak USIA ditubuhkan pada tahun 1969, ia terus menjadikan dakwah dan pendidikan sebagai teras perjuangan dalam melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

“Walaupun kita tidak mampu mengubah percaturan geopolitik dunia, kita mampu membina rakyat yang memiliki jati diri, nilai, akhlak dan daya tahan untuk menghadapi segala cabaran,” katanya.

Sehubungan itu, Sapawi menzahirkan kepada penghargaan kepada Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sabah melalui TSKN 3 (Tugas-Tugas Khas), USIA Zon Pantai Barat Selatan (Kota Kinabalu, Penampang,Papar, Tuaran dan Tamparuli), para panelis dan jawatankuasa pelaksana atas komitmen menjayakan program itu.

Beliau turut menyeru semua peserta memanfaatkan wacana tersebut untuk menambah ilmu, memperluas perspektif dan membina jaringan pemikiran demi kemajuan agama, masyarakat, negeri dan negara.

Sapawi berharap Program Wacana Pemikir itu akan menjadi wadah melahirkan masyarakat yang berfikiran strategik, berdaya tahan dan bersedia menghadapi perubahan dunia.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles