Oleh JW
KOTA KINABALU: Sebanyak 24 buah sekolah rendah di Zon Kiulu dan Zon Nabalu menerima sumbangan berjumlah RM48,000 menerusi Majlis Penyerahan Sumbangan kepada PIBG Zon Kiulu dan Zon Nabalu yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai di sini pada Jumaat.
Majlis anjuran Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Zon Kiulu dan Zon Nabalu itu menyaksikan setiap sekolah menerima RM2,000 bagi membantu pelaksanaan aktiviti serta memenuhi keperluan sekolah melalui PIBG.
Pengerusi Persatuan Guru Besar Zon Kiulu, GB Goromon Rongot, berkata sumbangan tersebut merupakan tahun ketiga berturut-turut sejak 2024, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Joniston terhadap pembangunan pendidikan di kawasan Zon Kiulu dan Nabalu.
Wakil PGBM Zon Nabalu, GB Puan Ng Kiat Fung, turut merakamkan penghargaan atas sokongan yang memberi manfaat besar kepada sekolah.
Dalam ucapannya, Joniston yang juga ADUN Kiulu menegaskan bahawa pendidikan merupakan kunci utama mengubah kehidupan masyarakat.
Beliau berharap sumbangan tahunan ini dapat diteruskan sebagai tanda komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan dengan warga pendidikan serta memastikan kebajikan dan pembangunan sekolah di Kiulu terus diberi perhatian.
Majlis turut dihadiri semua Guru Besar Zon Kiulu dan Zon Nabalu, Pengerusi PIBG serta kakitangan Pejabat ADUN Kiulu.
