LABUAN: Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) memanfaatkan penyertaannya dalam Road to MAHA Labuan 2026 bagi memperkenalkan Program Ikan Rakyat Sabah (IRS) kepada masyarakat, sekali gus memperluaskan kesedaran mengenai usaha menyediakan bekalan ikan segar, berkualiti dan pada harga berpatutan.
Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar, berkata program itu bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan bekalan ikan berkualiti pada harga mampu milik, malah menyokong agenda keterjaminan makanan negeri, meningkatkan pendapatan nelayan tempatan serta merancakkan pembangunan industri perikanan Sabah.
Katanya, penyertaan SAFMA turut menampilkan pelbagai produk makanan laut termasuk ikan segar, makanan laut sejuk beku, produk hiliran serta hidangan tradisi Sabah seperti ambuyat bersama ikan ampap dan pais ikan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
Pameran itu turut dikunjungi Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, yang melawat gerai SAFMA bagi meninjau pelaksanaan Program Ikan Rakyat Sabah serta pelbagai produk yang dipamerkan.
Dalam lawatan itu, Jamawi turut menikmati hidangan ambuyat bersama ikan ampap yang disediakan menggunakan Ikan Rakyat Sabah dan menzahirkan penghargaan terhadap usaha SAFMA mempromosikan makanan warisan Sabah seiring usaha memperkenalkan hasil laut tempatan yang berkualiti, berkhasiat serta mampu milik kepada rakyat.
Burhan berkata, kehadiran Jamawi mencerminkan sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap usaha memperkasakan industri perikanan dan mempromosikan hasil laut Sabah ke pasaran yang lebih luas.
“Platform seperti Road to MAHA bukan sahaja memperkenalkan produk tempatan kepada pengguna, malah membuka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkukuh ekosistem industri perikanan negara,” katanya.
Sepanjang program yang berlangsung dari 23 hingga 26 Julai lalu, pengunjung turut berpeluang menyertai demonstrasi masakan, menikmati pelbagai produk makanan laut SAFMA serta mendapatkan maklumat mengenai Program Ikan Rakyat Sabah dan inisiatif syarikat.
Beliau berkata, penyertaan itu membuktikan komitmen SAFMA untuk terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan, meningkatkan nilai tambah hasil perikanan serta mempromosikan keunikan makanan tradisi Sabah kepada masyarakat dan pelancong.
