Wanita GRS perkukuh jentera, lantik empat pengerusi unit baharu

KOTA KINABALU:  Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus mengadakan mesyuarat secara berkala di semua peringkat bagi memastikan jentera parti sentiasa tersusun, bersiap siaga dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU).

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, berkata mesyuarat yang diadakan secara konsisten bukan sekadar memenuhi keperluan organisasi, malah menjadi platform penting untuk mengukuhkan jentera dan gerakan parti, selain membincangkan perkembangan politik serta isu-isu semasa.

“Politik adalah dinamik. Kita tidak boleh statik atau berada dalam zon selesa. Sebab itu Wanita GRS perlu sentiasa bermesyuarat, menyelaras gerak kerja dan bersedia menghadapi sebarang perubahan landskap politik.

“Setiap pemimpin dan ahli Wanita GRS mesti memahami denyut nadi rakyat serta bertindak pantas dalam mendepani setiap cabaran,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS di Bilik Manukan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Dalam mesyuarat itu, Azizah mengumumkan penubuhan lima unit strategik Wanita GRS dengan beliau sendiri mengetuai Unit Dasar dan Polisi, manakala Datuk Surinam Sadikun (Unit Ekonomi), Simi Linggom (Unit Kesihatan), Datin Atin Belynda Buntot (Unit Penerangan) dan Datin Wong Siow Lee @ Mary Wong (Unit Kebajikan) dilantik sebagai pengerusi unit masing-masing.

Jelas Azizah, setiap unit mempunyai peranan yang jelas dalam merancang dan melaksanakan program berimpak tinggi, di samping memperkukuhkan hubungan parti dengan rakyat melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan.

Beliau berkata, kekuatan sesebuah parti bergantung kepada kesediaan jenteranya untuk terus bekerja, turun padang dan mendampingi rakyat secara berterusan, bukan hanya apabila pilihan raya semakin hampir.

“Saya mahu setiap unit dan bahagian Wanita GRS bergerak sebagai satu pasukan yang mantap, berdisiplin dan proaktif. Dengan kesatuan, komitmen serta gerak kerja yang tersusun, saya yakin Wanita GRS akan terus menjadi tonggak penting dalam memperkukuhkan Gabungan Rakyat Sabah serta menyumbang kepada kemenangan parti pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Wanita GRS, Datuk Redonah Bahanda, Puan Glenna Wong Kuen Yin, Norzian Dumit dan Simi Linggom; Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait,  Bendahari Wanita GRS, Datin Wong Siow Lee,  Penolong Bendahari, Datuk Surinam Sadikun; Ketua Penerangan, Datin Atin Belynda Buntot; Penolong Ketua Penerangan, Lailawati Ahmad Bahrom @ Julie; serta Ahli Jawatankuasa Wanita GRS .

Related Articles

253FansLike

Latest Articles