KOTA KINABALU – Pembinaan semula Jambatan Sungai Damit di Tuaran dijangka siap sepenuhnya pada 9 Ogos 2027, manakala kerja baik pulih Jambatan Low Level Crossing Tamparuli pula dijadualkan siap penghujung September 2026.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) Sabah dalam satu jawapan bertulis terhadap Pertanyaan Lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada Persidangan DUN di sini, pada Isnin.
Dalam soalannya Madius bertanya kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri KKRU mengenai bilakah kerja pembinaan Jambatan Sungai Damit yang baru akan dimulakan dan bilakah kerja baik pulih Low Level Crossing Tamparuli siap.
Menurut KKRU, pembinaan semula Jambatan Sungai Damit, Tuaran telah bermula pada 10 Februari 2026.
“Kerja semasa di tapak adalah membuka parapet besi, lampu di atas jambatan dan membuka lantai konkrit.
“Aktiviti penyediaan struktur besi utama turut sedang giat dilaksanakan di kilang,” ujar kementerian itu lagi.
Mengenai Jambatan Low Level Crossing Tamparuli, KKRU memberitahu, kerja tersebut sedang dalam pelaksanaan dan dijadualkan siap sepenuhnya pada penghujung September 2026.
“Jambatan itu dijangka dibuka semula kepada pengguna pada awal Oktober 2026,” jelas KKRU.
