INTEGRITI PEMIMPIN MASYARAKAT PENENTU KEYAKINAN RAKYAT KEPADA KERAJAAN : AWANG KADIN

KOTA KINABALU: Integriti pemimpin masyarakat menjadi penentu utama sama ada rakyat terus meletakkan keyakinan terhadap kerajaan, kata Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.

Beliau berkata, pemimpin masyarakat perlu melaksanakan amanah dengan penuh kejujuran dan tidak sesekali menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan peribadi kerana setiap tindakan mereka memberi kesan langsung kepada kepercayaan rakyat.

“Jawatan boleh datang dan pergi, namun integriti akan terus menjadi ukuran kepada nilai seorang pemimpin.

“Jangan sesekali menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kepentingan peribadi, mengambil kesempatan ketika menguruskan bantuan rakyat atau mengutamakan kroni sehingga menjejaskan kepercayaan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti di Menara Kinabalu, hari ini.

Turut hadir Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Haji Nordin Lossin; pegawai-pegawai AKM, UPPM Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seminar yang menghimpunkan lebih 1,350 peserta itu disertai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, Ketua Masyarakat Cina, Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) serta warga kerja UPPM Sabah.

Awang Kadin berkata, program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dengan kerjasama UPPM Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Sabah Maju Jaya (SMJ) itu adalah sebahagian siri jelajah yang sebelum ini diadakan di Sandakan, Tawau, Kota Marudu dan Beaufort, sebelum diteruskan di Keningau.

Beliau berkata, pemimpin masyarakat bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan maklumat kerajaan, malah menjadi penghubung utama antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, mereka perlu memastikan setiap dasar dan inisiatif Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Negeri Sabah diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melalui agenda Sabah Maju Jaya disampaikan secara tepat kepada rakyat.

“Jangan biarkan media sosial menjadi sumber maklumat utama sehingga fakta bercampur dengan fitnah.

“Kitalah yang perlu turun padang, mendengar sendiri suara rakyat dan menjelaskan apa yang telah, sedang serta akan dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa integriti bukan hanya berkaitan rasuah, sebaliknya merangkumi kejujuran dalam membuat pengesahan, berlaku adil kepada semua, berani mempertahankan kebenaran dan melaksanakan amanah tanpa mengharapkan balasan.

“Kepercayaan rakyat tidak dibina dalam sehari, tetapi boleh musnah hanya dengan satu penyalahgunaan kuasa.

“Oleh itu, bekerjalah dengan penuh disiplin, berkhidmat dengan amanah dan pimpinlah masyarakat dengan penuh hikmah demi memastikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan terus kukuh,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles