KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel merupakan langkah yang baik dalam memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, di samping mengurangkan ketirisan serta penyalahgunaan subsidi.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, usaha Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga diesel bersubsidi bagi pemilik kenderaan yang layak di Sabah wajar dihargai, termasuk beberapa penambahbaikan seperti peluasan kelayakan kepada pemilik kenderaan pikap dan jip tertentu, pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga serta pengecualian fi pertukaran hak milik.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pelaksanaan dasar itu perlu terus diperhalusi dengan mengambil kira realiti geografi, corak pergerakan penduduk serta struktur ekonomi Sabah yang berbeza daripada negeri-negeri lain.
“Sabah merupakan negeri yang luas dengan jarak perjalanan antara daerah, bandar dan kawasan pedalaman yang jauh. Bagi sebahagian besar rakyat, perjalanan untuk mendapatkan rawatan, pendidikan, menguruskan urusan kerajaan, menjual hasil pertanian atau mendapatkan bekalan keperluan asas boleh mengambil masa berjam-jam.
“Dalam keadaan ini, penggunaan diesel bukan sekadar untuk perjalanan harian, malah menjadi nadi kepada kelangsungan kehidupan dan aktiviti ekonomi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sektor pertanian, perikanan, pengangkutan, pembinaan, perusahaan kecil serta pelbagai aktiviti ekonomi luar bandar di Sabah masih bergantung kepada penggunaan kenderaan dan peralatan berasaskan diesel.
Sehubungan itu, beliau berharap kuota pembelian diesel bersubsidi serta syarat kelayakan sedia ada dapat dinilai secara berkala berdasarkan corak penggunaan sebenar rakyat di Sabah.
Menurutnya, pendekatan yang lebih fleksibel juga perlu dipertimbangkan khususnya bagi penduduk pedalaman, petani, nelayan, pengusaha kecil serta mereka yang menggunakan diesel untuk bot, generator dan keperluan ekonomi setempat.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa peningkatan kos pengangkutan akibat pelaksanaan subsidi bersasar boleh memberi kesan langsung kepada golongan belia yang sedang membina kehidupan dan kerjaya.
“Ramai belia Sabah bergantung kepada kenderaan pikap dan pacuan empat roda untuk bergerak antara daerah, membawa peralatan, mengurus program komuniti, menjalankan perniagaan, menghantar hasil jualan, mengikuti latihan kemahiran serta menyertai aktiviti sukan dan ekonomi kreatif.
“Jika kos operasi meningkat, ia secara tidak langsung akan mengecilkan peluang mereka untuk berkembang dan menjana pendapatan,” katanya.
Beliau yakin sebarang isu berbangkit dapat ditangani melalui rundingan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dengan mengambil kira pandangan rakyat, pemimpin setempat, persatuan industri serta komuniti luar bandar.
“Kita menyokong usaha kerajaan memastikan subsidi lebih bersasar. Namun, pelaksanaannya mestilah adil, praktikal dan mengambil kira keunikan Sabah agar tidak menambah beban kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
“Keperluan Sabah tidak boleh dinilai berdasarkan angka penggunaan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks keluasan negeri, jarak perjalanan yang jauh, kekurangan pengangkutan awam serta kebergantungan ekonomi tempatan terhadap diesel,” katanya.
Beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan terus memantau pelaksanaan BUDI MADANI Diesel dan bersedia melakukan penyesuaian yang bersesuaian dari semasa ke semasa bagi memastikan matlamat membendung ketirisan subsidi dapat dicapai tanpa menjejaskan kesejahteraan serta kelangsungan ekonomi rakyat Sabah.
